07/07/2026 02:45 PM

PRN Johor: Parti Bertanding Perlu Tampil Kempen Matang, Tidak Guna Bahasa Politik Keras

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 perlu menjadi medan kempen matang antara parti-parti utama yang bertanding dengan menampilkan persaingan berasaskan dasar, prestasi dan tawaran kepada rakyat, bukannya membina permusuhan politik yang boleh menjejaskan kerjasama pada peringkat Persekutuan.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata parti-parti bertanding boleh membandingkan tawaran masing-masing secara terbuka, termasuk siapa lebih mampu mengurus Johor, menarik pelaburan, menyantuni pengundi bandar dan luar bandar serta menyelesaikan isu kos sara hidup, pekerjaan, perumahan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata parti politik yang bertanding perlu mengelakkan penggunaan bahasa politik yang terlalu keras sehingga menutup ruang kerjasama selepas pilihan raya.

“Persaingan dalam demokrasi adalah sah dan sihat, tetapi perlu berlangsung secara tegas dan beradab. Parti-parti utama boleh berlawan di Johor tanpa meruntuhkan jambatan kerjasama yang masih diperlukan pada peringkat Persekutuan,” katanya kepada Bernama. 

Awang Azman berkata PRN Johor bukan sekadar pilihan raya negeri, sebaliknya turut menjadi ujian terhadap kematangan hubungan politik antara parti utama yang kini berada dalam kedudukan unik, iaitu bersaing pada peringkat negeri, tetapi masih mempunyai keperluan untuk bekerjasama dalam pentadbiran negara.

Beliau yang juga felo Akademi Kenegaraan Malaysia berkata kempen yang terlalu bersifat menyerang identiti parti, kenegerian sempit atau membina persepsi bahawa rakan politik di Putrajaya ialah “musuh mutlak”  hanya akan mengelirukan pengundi.

“Parti yang menekankan mandat negeri boleh berhujah berdasarkan rekod pentadbiran, kestabilan kerajaan, pembangunan ekonomi dan kepimpinan negeri.

“Pada masa yang sama, parti yang membawa naratif semak dan imbang pula boleh menekankan reformasi institusi, kepelbagaian suara serta keperluan pengundi bandar dan kelas menengah. Ini persaingan yang sihat kerana ia berasaskan dasar dan hala tuju,” katanya.

Beliau berkata garis pemisah utama yang perlu dijaga sepanjang kempen ialah tidak menyerang peribadi, kaum, agama atau asas kewujudan rakan politik.

“Selepas PRN, sebahagian parti ini masih perlu duduk bersama dalam Kabinet, Parlimen dan urusan kerajaan Persekutuan. Jadi luka politik yang terlalu dalam semasa kempen akan menyukarkan proses pemulihan hubungan selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks Johor, pengundi lebih memerlukan perbahasan mengenai isu dasar dan kepentingan rakyat seperti ekonomi sempadan, kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS) Link, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), perumahan mampu milik, kesesakan, pendidikan teknikal serta kebajikan rakyat.

Sementara itu penganalisis politik Dr Norman Sapar berkata parti-parti bertanding perlu mengawal nada kempen masing-masing bagi memastikan persaingan politik pada peringkat negeri tidak menjejaskan kestabilan dan kerjasama pada peringkat Persekutuan.

Beliau yang juga penulis buku Perang Politik Media Sosial berkata parti-parti yang bersaing perlu membezakan dengan jelas antara persaingan pilihan raya di Johor dan tanggungjawab mereka dalam memastikan urusan negara terus berjalan dengan baik.

Persaingan secara terbuka adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun ia tidak wajar sehingga merosakkan kepercayaan politik yang diperlukan untuk mentadbir negara selepas pilihan raya.

“Pada saya, kematangan politik hari ini bukan diukur melalui siapa paling lantang menyerang lawan, tetapi siapa paling bijak mengurus perbezaan tanpa menjejaskan kepentingan negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setakat pemerhatiannya, kempen PRN Johor masih memperlihatkan tahap kematangan yang baik walaupun terdapat beberapa isu yang cuba dibangkitkan, serta kecenderungan pihak tertentu untuk mengambil kredit terhadap sesuatu usaha.

Keadaan itu masih dalam ruang persaingan politik yang terkawal, dan menariknya pemimpin di Johor lebih banyak menggunakan sindiran halus berbanding konfrontasi terbuka.

“Saya melihat itu sebagai sebahagian daripada budaya politik Johor yang masih mengekalkan santunan dan adab,” katanya.

Parti-parti yang bertanding seharusnya menjadikan rakyat sebagai fokus utama kempen dengan menumpukan kepada idea, rekod pentadbiran, tawaran dasar dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat.

Kempen tidak sepatutnya digunakan untuk mempertikaikan hubungan kerjasama pada peringkat Persekutuan atau mencetuskan polemik yang boleh merugikan kepentingan lebih besar.

“Saya melihat pengundi hari ini semakin matang. Mereka mampu membezakan persaingan di Johor dengan keperluan mengekalkan kestabilan politik pada peringkat nasional.

“Sebab itu, parti yang lebih banyak menawarkan penyelesaian biasanya lebih diyakini berbanding parti yang terlalu banyak menyerang lawan,” katanya.

-- BERNAMA