Tempahan Kopi Meningkat, PRN Johor Bawa Limpahan Rezeki Buat Pak Ajes
Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 7 Julai (Bernama) -- Ketika calon dan petugas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sibuk menjelajah daripada satu lokasi kempen ke satu lokasi lain, seorang pengusaha kopi di Kampung Parit Sidek, Semerah di sini pula tidak menang tangan memenuhi tempahan yang meningkat sepanjang musim pilihan raya.
Bagi Aziz Mohd, 65, atau lebih dikenali sebagai Pak Ajes, kehangatan kempen PRN bukan sekadar menyemarakkan suasana politik, malah turut membawa limpahan rezeki kepada perusahaan kopi yang dibinanya sejak lebih tiga dekad lepas.
Pengerusi Aziz Coffee Trading itu berkata beliau terpaksa menggandakan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan, khususnya daripada petugas dan jentera kempen di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Semerah, Sungai Balang dan Bukit Naning.
“Saya bersyukur dengan rezeki pilihan raya ... ia bukan selalu ada dan saya bersama anak saya telah melakukan persediaan awal setelah beberapa pihak daripada calon PRN telah menghubungi saya terlebih dahulu.
“Sehingga ke Rengit dan ada juga biji kopi dari Kluang saya dapatkan bagi menampung permintaan yang tinggi kali ini. Alhamdulillah, setakat hari ini ia berjalan lancar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata perjalanan menceburi industri kopi bermula pada 1991 apabila melihat lambakan biji kopi di kampung berhampiran, yang pada mulanya hanya diproses untuk kegunaan sendiri dan membantu beberapa kenalannya yang mengusahakan kedai minuman.
Aziz berkata sebelum membuka kilang memproses biji kopi, beliau lebih menumpukan kepada penternakan burung puyuh bagi penghasilan telur dan tanaman cendawan yang dijual kepada pembekal atau di pasar berhampiran.
“Bermodalkan kira-kira RM200 daripada jualan telur puyuh dan tanaman cendawan, saya mula menjual serbuk kopi mengikut permintaan pelanggan bermula dengan pek seberat 100 gram.
“Kini kami mampu menghasilkan 1,500 paket serbuk kopi sehari dari jenis Liberica, Robusta dan Arabica dengan pasaran yang telah menembusi Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak,” katanya sambil menambah perusahaan itu kini menjadi pendapatan utama keluarga.
Beliau berkata perusahaan yang bermula secara kecil-kecilan itu kini menghasilkan lebih lima tan serbuk kopi setiap bulan, dengan produk berkenaan turut dibekalkan kepada beberapa kedai kopi di sekitar Muar dan Batu Pahat.
Berkongsi mengenai penghasilan serbuk kopi, Aziz berkata ia memerlukan kesabaran dan penelitian yang tinggi pada setiap peringkat proses bermula dengan mengasingkan biji kopi daripada tangkai dan kulitnya, sebelum dijemur selama kira-kira 15 hari, diikuti proses memanggang, mengisar dan pembungkusan.
“Kerja-kerja pembungkusan juga memerlukan ketelitian yang tinggi kerana serbuk kopi ini mudah berterabur, serta perlu dielak daripada terdedah kepada udara terlalu lama bagi mengekalkan kualitinya (mudah keras dan berketul),” katanya.
Bagi mengembangkan lagi perniagaan, Aziz membuka Kupi Nang Ajes Cafe di hadapan rumahnya pada 2022 dengan dibantu anaknya Muhammad Fitri, 22, yang menawarkan pelbagai jenis kopi termasuk americano dan latte pada ‘harga kampung’ yang sangat berpatutan.
“Saya dan anak berhasrat untuk membuka cawangan kedua di kawasan tumpuan sama ada di bandar Batu Pahat atau Muar, selain bercita-cita mempunyai cawangan pada setiap negeri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian yang banyak membantu perniagaannya itu menerusi sumbangan mesin pengisar biji kopi, mesin pembuat uncang kopi dan kursus berkaitan pembungkusan serta pelabelan produk.
PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Manifesto PH Tawar Penyelesaian Holistik Tangani Kos Sara Hidup - Maszlee
- Kepakaran Wakaf Malaysia Jadi Rujukan Oman Dalam Pembangunan Aset Ummah
- MCE Lancar Hab Pembuatan Elektronik Automotif Bernilai RM50 Juta Di Serendah
- Bekas 'Crime Buster' Kongsi Pengalaman Banteras Jenayah Era 70-an
- Murid Tahun Lima Cedera Jatuh Tingkat Tiga Sekolah