PRN Johor: Saifuddin Nasution, Khaled Seru Pengundi Awal Tunai Amanah
JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Anggota pasukan keselamatan yang mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini, diseru agar menunaikan tanggungjawab itu dengan penuh amanah dan semangat demokrasi.
Seruan berkenaan disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebook masing-masing yang turut mengucapkan selamat mengundi kepada 24,751 pengundi awal yang layak.
"Selamat mengundi kepada semua pengundi awal. Gunakan hak yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan semangat demokrasi," kata Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH).
Dalam hantaran sama, Saifuddin Nasution menggesa jentera PH supaya terus bekerja sehingga tamat tempoh berkempen dengan mendekati rakyat secara berhemah serta mengekalkan kempen yang matang sepanjang proses pilihan raya.
Mohamed Khaled, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata pengundi awal perlu menunaikan tanggungjawab mereka demi meneruskan kemajuan Johor.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon pengundi awal memberikan kepercayaan kepada setiap calon Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan agenda kestabilan, pembangunan dan kebajikan rakyat.
Ketiga-tiga pemimpin itu turut mendoakan supaya proses pengundian awal berjalan dengan lancar, aman dan teratur serta dipermudah segala urusan pengundi dan petugas pilihan raya.
Pengundi awal PRN Johor kali ini terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan masing-masing.
Semua pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang ini bergantung pada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.
PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Kes Tikam Sekolah: Anak Saya Masih Trauma, Biar Polis Jalankan Siasatan - Bapa
- PRN Johor: SPR Sasar 96 Peratus Keluar Mengundi Awal
- Perolehan Peluru Berpandu Ganti NSM Dijangka Selesai Antara Dua Hingga Tiga Tahun
- Perbelanjaan Luar Pesisir Asia Pasifik kekal Stabil Selepas Konflik Asia Barat
- PRN Johor: Selesaikan Isu Internet Agenda Utama Calon PH Sekiranya Diberi Mandat Di Benut