PRN Johor: Calon PH Pacu "Pecutan Akhir", Manfaat Strategi Hibrid Dekati Pengundi
JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Berbaki lima hari sahaja lagi sebelum hari pengundian pada Sabtu ini, barisan calon Pakatan Harapan (PH) melancarkan “pecutan akhir” dengan mengoptimumkan strategi hibrid bagi memaksimumkan capaian terhadap pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pendekatan strategik yang menggabungkan sentuhan peribadi melalui kaedah turun padang tradisional dengan penguasaan naratif digital, kini menjadi senjata utama calon dalam memastikan visi dan misi mereka sampai ke segenap lapisan masyarakat.
Selain ceramah kelompok, penggunaan media sosial kini ditransformasikan sebagai “bilik gerakan maya” untuk menghebahkan tawaran manifesto secara terus, sekali gus membolehkan interaksi dua hala yang lebih pantas.
Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi parti yang turun berkampung di lapangan turut memberikan suntikan moral serta memacu momentum jentera di peringkat akar umbi untuk bekerja lebih kuat.
Antara pendekatan yang dilaksanakan oleh penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman yang turun padang menyantuni masyarakat, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Dalam hantaran itu, Chow turut membuat seruan terbuka kepada rakyat Johor agar memberikan mandat kepada calon PH demi menjamin kelangsungan kemajuan dan kesejahteraan negeri di bawah tadbir urus yang inklusif.
Platform TikTok terbukti menjadi medium paling dinamik apabila beberapa calon mula meraih perhatian melalui gaya penyampaian yang santai tetapi berisi.
Calon DUN Tiram Nor Zulaila Abd Ghani antara yang menarik perhatian apabila memanfaatkan platform itu dengan gaya bersahaja, sekali gus mendapat pujian pengguna di media sosial.
“Bagusnya isi penyampaian, terbaik! Saya suka calon ini, calon yang sempurna sebagai pemimpin kami dan membawa suara kami di DUN,” antara respons pengguna media sosial di ruangan komen TikTok Nor Zulaila.
Sementara itu, calon DUN Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik terus memperkukuh dominasi digitalnya melalui saluran rasmi WhatsApp Channel “Gerak Sama Dr Maszlee Malik” bagi memudahkan pengundi mengikuti perkembangan gerak kerja serta menyalurkan aspirasi secara langsung.
Calon DUN Machap Nor Hafiz Roslan pula menggunakan Facebook untuk mengetengahkan profilnya sebagai peguam dan aktivis masyarakat yang bertekad membawa suara penduduk ke peringkat lebih tinggi.
Bagi calon DUN Tanjung Surat Faizul Abdul Ghani pula memilih kaedah mobiliti menerusi “Jelajah Trak Harapan” yang membolehkan beliau mendekati pengundi di pelbagai lokaliti dengan lebih pantas dan fleksibel.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Julai ini manakala hari pengundian awal bagi anggota pasukan keselamatan dijadualkan berlangsung esok.
Bagi berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
Berita terkini
- RHB IB Unjur KDNK Malaysia Tumbuh 4.7 Peratus Pada 2026
- Sime Darby Property Beli Wisma UNIRAZAK Pada Harga RM160 Juta
- PRN Johor: Transformasi Ekonomi, Perumahan Felda, Agenda Utama Md Yusof Di Tenggaroh
- SUKMA Selangor 2026 Terima Suntikan Tajaan Hampir RM8 Juta
- PRN Johor: Yeo Yakin Rekod Dua Penggal Mampu Rampas Semula DUN Pekan Nanas