06/07/2026 07:15 PM

Diplomasi Budaya Menerusi Upacara Minum Teh Eratkan Hubungan Jepun-Malaysia

BENTONG, 6 Julai (Bernama) -- Di kawasan bukit-bukau Bukit Tinggi yang tenang dan jauh daripada kesibukan Kuala Lumpur, tersergam sebuah taman teh tradisional Jepun. Di sini, setiap tunduk hormat, setiap cawan teh yang disediakan dengan teliti dan setiap detik yang dikongsi membawa matlamat yang lebih besar daripada sekadar upacara - iaitu memperkukuh hubungan yang lama terjalin antara Jepun dan Malaysia.

Lebih daripada sekadar pameran tradisi, upacara teh Jepun ini berfungsi sebagai platform diplomasi budaya bagi memupuk persefahaman bersama dan mendekatkan kedua-dua negara melalui hubungan sesama rakyat yang lebih kukuh.

Bagi Kedutaan Jepun di Malaysia, tradisi itu mencerminkan nilai-nilai bersama yang menjadi asas kepada hubungan kedua-dua negara. Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Jepun, Nihei Daisuke mengambil maklum bahawa prinsip yang terkandung dalam upacara teh berkenaan amat bersesuaian dengan masyarakat berbilang budaya di Malaysia, sekali gus memupuk persefahaman budaya bersama yang lebih mendalam.

“Jepun dan Malaysia berkongsi nilai yang sama seperti hormat-menghormati, keharmonian dan penghargaan terhadap kepelbagaian, yang membentuk asas penting bagi hubungan dua hala.

“Malaysia juga merupakan sebuah masyarakat berbilang budaya yang menyaksikan pelbagai kumpulan etnik hidup bersama dalam keadaan harmoni. Sikap menghormati perbezaan itu adalah sesuatu yang kami turut hargai dengan mendalam dalam budaya Jepun,” katanya kepada Bernama selepas upacara teh Jepun di Japanese Garden, Berjaya Hills, Bukit Tinggi, pada Ahad.

Acara sehari itu diadakan bertujuan memperkenalkan budaya upacara teh Jepun kepada masyarakat Malaysia, selain mempromosikan lagi pertukaran budaya serta persahabatan antara kedua-dua negara.

Bagi Daisuke, upacara teh tersebut adalah lebih daripada sekadar ritual kebudayaan kerana ia merangkumi falsafah menghargai hubungan sesama manusia dan menilai setiap pertemuan.

“Ia bukan sahaja ritual membuat dan meminum teh, tetapi tentang menghargai detik yang kita kongsi bersama orang lain, dan menghargai pertemuan yang tidak akan berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata diplomasi budaya menerusi upacara teh itu membantu kedua-dua pihak memahami antara satu sama lain dengan lebih baik, melampaui kerjasama rasmi dalam bidang seperti ekonomi dan keselamatan.

“Melalui diplomasi budaya, kami menyasarkan untuk mempromosikan persahabatan dan persefahaman bersama antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata penghargaan rakyat Malaysia terhadap budaya Jepun telah berkembang saban tahun, melangkaui anime, manga serta makanan untuk turut merangkumi seni dan adat resam tradisional seperti upacara teh.

“Sejak kebelakangan ini, kami melihat rakyat Malaysia semakin mendalami pemahaman mereka terhadap budaya Jepun, termasuk aspek tradisional. Kami amat menghargai minat ini,” katanya sambil menambah bahawa upacara teh berkenaan turut menyediakan suasana yang tulen untuk rakyat Malaysia merasai sendiri budaya Jepun di samping memupuk pertukaran budaya.

-- BERNAMA