06/07/2026 06:30 PM

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Dirangsang Minat Belian Saham Perbankan, Perladangan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 6 Julai -- Minat belian baharu yang kembali melonjak untuk saham-saham perbankan dan perladangan mendorong Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.48 mata kepada 1,683.53 daripada 1,679.05 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 3.35 mata lebih tinggi pada 1,682.40 dan berlegar antara 1,678.37 dan 1,685.49 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran agak negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 620 berbanding 403, manakala 545 kaunter tidak berubah, 1,082 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan bagaimanapun merosot kepada 2.68 bilion unit bernilai RM1.69 bilion berbanding 2.79 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen domestik bertukar lebih positif sedikit susulan ketegangan geopolitik yang mereda dan penurunan harga minyak mentah, yang boleh membantu mengurangkan tekanan inflasi dan menyokong prospek ekonomi secara keseluruhan.

“Kenaikan semula pasaran baru-baru ini juga membayangkan minat memburu saham murah kekal kukuh terutamanya dalam kalangan saham mewah yang mempunyai asas yang kukuh,” kata beliau kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 14 sen kepada RM10.94, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing menokok dua sen kepada RM4.91 dan RM14.30, manakala CIMB Group bertambah satu sen kepada RM7.61, IHH Healthcare melonjak 18 sen kepada RM8.33 dan SD Guthrie naik 11 sen kepada RM6.15.

Bagi saham paling aktif, HHRG meningkat satu sen kepada sembilan sen, ECKEM Holdings meraih 1.5 sen kepada 13.5 sen, Tanco menokok satu sen kepada 18.5 sen, manakala Silver Ridge susut 2.5 sen kepada 18.5 sen dan Zetrix AI merosot tiga sen kepada 76 sen.

Dalam senarai saham untung, United Plantations melonjak 38 sen kepada RM33.50, Petronas Dagangan menambah 28 sen kepada RM19.54, Bintulu Port menokok 21 sen kepada RM5.56, Hong Leong Financial meningkat 18 sen kepada RM18.68 dan Hong Leong Industries meraih 14 sen kepada RM18.82.

Dalam kalangan saham rugi, Malaysian Pacific Industries merosot RM1.96 kepada RM45.82, Batu Kawan turun 46 sen kepada RM21.18, Nestle susut 44 sen kepada RM90.76, Kelington Group jatuh 20 sen kepada RM7.80 dan Panasonic Manufacturing menguncup 19 sen kepada RM5.70.

Di keseluruhan pasaran, Indeks FBM Emas meningkat 15.71 mata kepada 12,472.72 dan Indeks FBMT 100 meraih 18.34 mata kepada 12,301.64.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah merosot 4.61 mata kepada 12,287.62, Indeks FBM 70 turun 34.71 mata kepada 17,805.64, manakala Indeks FBM ACE menyusut 1.74 mata kepada 4,892.87.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 102.45 mata kepada 19,934.42, Indeks Perladangan menokok 38.25 mata kepada 9,007.79, manakala Indeks Tenaga meraih 0.89 mata kepada 759.49, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 1.08 mata kepada 181.36.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengecil kepada 1.06 bilion unit bernilai RM1.36 bilion berbanding 1.32 bilion unit bernilai RM1.65 bilion pada Jumaat lepas.

Bagi jumlah dagangan waran pula, ia berkembang kepada 1.04 bilion unit bernilai RM141.68 juta berbanding 854.95 juta unit bernilai RM106.34 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 571.10 juta unit bernilai RM193.68 juta daripada 612.79 juta unit bernilai RM170.56 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 149.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (204.98 juta), pembinaan (74.31 juta), teknologi (181.66 juta), perkhidmatan kewangan (33.72 juta), hartanah (214.51 juta), perladangan (14.78 juta), amanah pelaburan hartanah (10.46 juta), dana tertutup (99,200), tenaga (59.29 juta), penjagaan kesihatan (32.10 juta), telekomunikasi dan media (15.82 juta), pengangkutan dan logistik (45.42 juta), utiliti (32.81 juta) dan amanah perniagaan (172,500).

-- BERNAMA