PRN Johor: 24,751 Pengundi Awal Pilih Wakil Rakyat Esok
JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Sebanyak 24,751 pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dijadualkan menunaikan tanggungjawab mereka esok, melibatkan 64 pusat mengundi awal yang akan dibuka di seluruh negeri.
Kumpulan pemilih itu terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan manakala 12,710 lagi adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan.
Proses undi awal bagi kumpulan itu melibatkan 53 pusat mengundi bagi PDRM dan 11 pusat mengundi untuk ATM yang dijadualkan dibuka serentak tepat 8 pagi.
Bagi pengundi awal PDRM, sebanyak 12,067 orang akan mengundi secara fizikal di pusat-pusat yang ditetapkan esok manakala 643 lagi melaksanakan tanggungjawab melalui kaedah undi pos.
Bagi memastikan kelancaran proses pengundian awal, sebanyak 3,565 petugas PDRM digerakkan, terdiri daripada 647 pegawai, 2,806 anggota dan 112 pegawai awam.
Penugasan itu meliputi kawalan keselamatan di pusat mengundi awal, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, penugasan di bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan terlibat.
Waktu penutupan pusat mengundi awal esok akan dilakukan secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung kepada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar di pusat masing-masing.
Antara pusat mengundi yang akan ditutup pada 12 tengah hari ialah di Balai Polis Buloh Kasap, Segamat; Balai Polis Tenang, Labis dan Balai Polis Bandar Penawar yang mempunyai pengundi antara enam hingga 28 orang.
Sementara itu, pusat mengundi awal PDRM yang mencatat jumlah pemilih tertinggi ialah Dewan Polis Simpanan Persekutuan No 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bagi DUN Stulang dengan 1,338 pemilih, diikuti Tabika Kemas Batalion 6 PGA Bakri bagi DUN Bukit Naning melibatkan 927 pemilih.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan pada sebelah pagi di daerah Batu Pahat, Muar, Pontian dan Tangkak manakala daerah lain dijangka cerah.
Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN, dengan hari pengundian bagi 2.7 juta pengundi biasa ditetapkan pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Gempa Bumi Sederhana Landa Mindanao, Filipina
- PM Anwar Ucap Tahniah Kepada 17 Pelajar Malaysia Rangkul 22 Pingat Di KEO 2026
- Mahkamah Tetapkan 12 Okt Pendengaran Injunksi Inter-parte MCMC Terhadap Papagomo
- Fadhlina Lawat Sekolah Di Banting Susulan Kes Pelajar Ditikam
- PRN Johor: Penerimaan Menggalakkan Beri Keyakinan Buat Danish Hossman Tawan Johor Lama