05/07/2026 11:59 PM

PRN Johor: Guna Tawar Enam Manifesto Demi Kesejahteraan Penduduk DUN Layang-layang

KLUANG, 5 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Guna Balakrishnan menggariskan enam manifesto yang memfokuskan pembangunan inklusif, peningkatan infrastruktur serta kebajikan penduduk di kawasan itu.

Beliau berkata manifesto berkenaan mencerminkan komitmennya untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan masyarakat bagi memahami keperluan setempat, di samping memperjuangkan agenda pembangunan yang memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk Layang-Layang.

"Saya komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap isu diberi perhatian dan diselesaikan secara berkesan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara fokus utama manifesto itu ialah menangani masalah banjir yang sering menjejaskan penduduk di Kampung Senda, Sungai Sayong, Kampung Tengah Renggam, Ulu Benut, Simpang Renggam dan Kampung Chokro.

Beliau berkata usaha itu akan dilaksanakan menerusi percepatan projek tebatan banjir, penaiktarafan sistem saliran serta penyelenggaraan jalan raya dan kemudahan awam secara lebih sistematik.

Bagi aspek keselamatan dan infrastruktur digital, Guna berkata beliau akan menambah baik sistem pencahayaan lampu jalan serta memperkukuh liputan internet di kawasan luar bandar bagi memudahkan urusan pendidikan, perniagaan dan kehidupan harian penduduk.

Beliau turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan ekonomi tempatan menerusi sokongan kepada peniaga kecil serta usaha memanfaatkan potensi pelancongan di Renggam bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada penduduk.

"Bagi golongan belia, saya akan memperluaskan akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain mencadangkan pewujudan trek permotoran sebagai platform pembangunan bakat yang lebih selamat dan tersusun," katanya.

Selain itu, Guna berkata beliau akan memperkasa kebajikan wanita dan warga emas, termasuk memperluas peluang keusahawanan kepada wanita serta menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi memastikan golongan berkenaan terus menjalani kehidupan yang aktif dan sejahtera.

Beliau berkata enam manifesto itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya komitmen yang realistik untuk membawa perubahan positif menerusi kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat.

"Saya percaya tugas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri ialah menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat dengan kerajaan, memastikan setiap isu dibawa kepada perhatian pihak berkaitan serta memperjuangkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti.

"Justeru, saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Layang-Layang untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik," katanya.

DUN Layang-Layang yang mempunyai 25,181 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Guna, calon Barisan Nasional (BN) Chua Jian Boon dan penyandang kerusi itu Abd Mutalip Abd Rahim yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N27: LAYANG-LAYANG - 25,181 pengundi

1. Guna Balakrishnan (PH-PKR)

2. Abd Mutalip Abd Rahim (PN-Bersatu)

3. Chua Jian Boon (BN-MCA)

(2022: Abd Mutalip Abd Rahim BN-UMNO: Maj: 2,815)