05/07/2026 11:53 PM

Polis Tahan Lima Individu Bantu Siasatan Kes Pukul, Merusuh

MELAKA, 5 Julai (Bernama) -- Lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian merusuh hingga mendatangkan kecederaan parah ke atas dua lelaki di Jalan Pengkalan, Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Halim Abas berkata pihaknya menerima maklumat mengenai pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di lokasi berkenaan melalui talian kecemasan MERS 999 pada 1.48 pagi.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 1 pagi apabila dua lelaki berusia 41 dan 46 tahun yang menaiki motosikal dikatakan berhenti di kawasan berhampiran sebuah tokong bagi mengambil motosikal yang ditinggalkan di lokasi tersebut.

"Ketika berada di kawasan berkenaan, mereka dipercayai diserang sekumpulan lelaki menggunakan kerusi plastik, topi keledar dan sebatang kayu menyebabkan seorang mangsa mengalami koyakan di dahi dan dagu, manakala seorang lagi retak di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut dan seorang daripada mereka ditempatkan di Zon Merah.

Halim berkata bertindak atas maklumat, lima lelaki berusia antara 23 hingga 34 tahun berjaya ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

"Semakan awal mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala tiga lagi tidak mempunyai rekod jenayah. Kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

-- BERNAMA