Pemandu Disyaki Terbabit Kes Langgar Lari Maut Di Jalan Tun Razak Ditahan
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Polis menahan pemandu lelaki dipercayai terlibat kes langgar lari seorang penunggang motosikal hingga maut di Jalan Tun Razak berdekatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 6 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 29 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC itu dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan HKL,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata polis kemudian berjaya mengesan kereta dipercayai terlibat dalam kes itu dan mendapati ia merupakan sebuah kenderaan sambung bayar yang digunakan oleh pemandu semasa kejadian.
Mohd Zamzuri berkata pemandu berusia 30 tahun itu telah hadir secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira 6.30 petang tadi sebelum ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Suspek dibawa menjalani ujian pernafasan alkohol serta saringan awal air kencing. Hasil saringan awal mendapati kedua-dua ujian adalah negatif,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Guna Tawar Enam Manifesto Demi Kesejahteraan Penduduk DUN Layang-layang
- Polis Tahan Lima Individu Bantu Siasatan Kes Pukul, Merusuh
- Zaman "Budaya Sakau" Sudah Berakhir, Pemimpin Mesti Berintegriti Tanpa Kira Kaum - PM
- Pemandu Disyaki Terbabit Kes Langgar Lari Maut Di Jalan Tun Razak Ditahan
- Kejatuhan Harga Durian: PM Anwar Akan Runding Dengan Li Qiang Perluas Pasaran Ke China