05/07/2026 10:20 PM

PM Hargai Sokongan Warga Emas Kayuh Beca Untuk Bertemu Dengannya

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan terima kasih kepada seorang warga emas berusia 86 tahun yang sanggup mengayuh beca hampir satu kilometer bagi menunaikan hajat isterinya untuk melihat beliau dengan lebih dekat.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut memohon maaf kerana tidak sempat bertemu dengan pasangan itu ketika singgah bersarapan di sebuah kedai makan di Senggarang, Batu Pahat, Johor hari ini.

"Insya-Allah, kita akan berjumpa nanti. Terima kasih atas dukungan dan sokongan yang diberikan. Semoga Allah SWT mengurniakan kalian kesihatan yang baik serta mempermudah segala urusan," katanya.

Bernama melaporkan Abdul Razak Pelangga, 86, mengambil keputusan membawa isterinya, Jamilah Samsudin, 64, menaiki beca dari kediaman mereka di Kampung Parit Bugis ke Kedai Kopi Hailam Sri Medan di pekan kecil selepas mendengar perkhabaran akan kehadiran pemimpin nombor satu negara itu semalam.

Imam Masjid Raudhatul Jannah Parit Bugis itu berkata biarpun mempunyai pilihan untuk memandu kereta atau menunggang motosikal, beliau mengambil keputusan untuk membawa isterinya menaiki beca kerana tidak mahu berdepan kesusahan mencari tempat letak kenderaan.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 50 minit bersarapan pagi di kedai berkenaan dan menyantuni penduduk sekitar pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri Senggarang bersempena dengan Pilihan Raya Negeri Johor.

-- BERNAMA