PRN Johor: Calon PH Perhebat Usaha Pastikan Peratusan Keluar Mengundi Lebih 60 Peratus
KULAI, 5 Julai (Bernama) -- Hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu daripada Pakatan Harapan (PH), Arthur Chiong Sen Sern, memperhebat kempennya bagi memastikan peratusan keluar mengundi pada 11 Julai itu melebihi 60 peratus.
Bercakap pada sidang media hari ini, usaha mempertahankan DUN yang dimenanginya dengan majoriti tipis 137 undi pada 2022 itu menjadi semakin cerah, sekiranya peratusan mengundi pada 11 Julai depan melebihi 60 peratus.
“Saya dan jentera (PH DUN Bukit Batu) berkempen habis-habisan setiap hari. Pengundi juga dilihat sudi untuk mendengar manifesto serta apa yang akan kita tawarkan kepada mereka dan ini satu petanda yang baik,” katanya di Bilik Gerakan Utama N.51 Bukit Batu, di sini.
Beliau berkata jentera PH di Bukit Batu telah meningkatkan intensiti gerak kerja kempennya dengan lebih agresif dan mendapati maklum balas daripada pengundi pelbagai kaum di DUN itu, setakat ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif terhadap beliau.
Dalam pada itu, Arthur memuji budaya “politik matang” yang ditunjukkan oleh calon-calon yang bertanding di kawasan berkenaan.
“Kita bersaing dengan cara yang positif, malah ucap good luck to each other apabila bertembung ketika berkempen. Inilah cara politik matang dalam negara kita,” katanya.
Beliau menzahirkan keyakinan terhadap kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan, selain menyifatkannya sebagai hak mutlak mereka untuk menentukan wakil rakyat.
Dalam pada itu, Arthur menggariskan tujuh tekad bagi memastikan kesinambungan pembangunan di DUN Bukit Batu.
Tekad itu meliputi, jambatan kerjaya industri pusat data, pelebaran jalan FT001 dan sistem lampu isyarat pintar, menaik taraf klinik kesihatan, banteras penyalahgunaan vape dan dadah dalam kalangan belia, perkasa industri pelancongan, perluas kemudahan dan kapasiti sekolah serta kelas tuisyen Bahasa Melayu dan Sejarah percuma.
Beliau berkata tekad itu bukan sekadar manifesto, tetapi merupakan usaha bersepadu yang telah dan sedang dilaksanakannya sebagai wakil rakyat selama sepenggal di Bukit Batu.
“Saya percaya pembangunan yang mampan memerlukan kepimpinan yang berpengalaman, hubungan yang baik dengan kerajaan serta komitmen yang berterusan dalam menyelesaikan isu rakyat,” katanya.
Untuk rekod, peratusan keluar mengundi pada PRN Johor 2022, sekitar 54.9 peratus.
PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N51 Bukit Batu: 49,963 pengundi
1. R. Kumaran (BN-MIC)
2. Kamaruzaman Ali (Bebas/IND)
3. G. Tamili (Bersama)
4. Chiong Sen Sern (PH-PKR)
5. M. Premanand (MUDA)
(2022: Chiong Sen Sern: PKR: Maj: 137
Berita terkini
- Gempa Bumi: Jordan Pindahkan 21 Rakyatnya Dari Venezuela
- PBB: Krisis Bekalan Air Minum Di Kabul Semakin Meruncing
- Solat Jenazah Besar-Besaran Diadakan Untuk Pemimpin Agung Iran Yang Terkorban
- Pesakit Ebola Pertama Di Perancis Pulih
- Peningkatan Penyalahgunaan Dadah Sintetik, AADK Pantau Penggunaan Fentanil