Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
NAGOYA, 4 Okt (Bernama) -- “Pedihnya dua-dua,” itu luahan pemain hoki lelaki kebangsaan Fitri Saari susulan Malaysia terlepas peluang meraih pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Fitri berkata kedua-dua sasaran itu menjadi impian skuad negara sebelum kempen bermula, namun Malaysia terpaksa akur selepas tewas 1-5 kepada juara bertahan India pada aksi final di Gifu Prefectural Green Stadium, semalam.
“Pedihnya dua-dua sebab kita memang sasarkan emas dan layak ke Olimpik.
“Kita tahu cabaran utama kita hanya India. Pakistan pun sudah meningkat sekarang, tetapi kita sudah tewaskan mereka jadi satu halangan sudah dilepasi. India, kita sudah cuba yang sehabis baik. Jadi memang pedihlah,” katanya ketika ditemui semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal memanfaatkan peluang untuk meraih tiket automatik LA28 yang ditawarkan kepada juara hoki lelaki Sukan Asia, sekali gus perlu melalui pusingan kelayakan Olimpik.
Fitri mengakui cabaran pada pusingan kelayakan berkenaan bukan mudah kerana Malaysia bakal berdepan pasukan kuat dari benua lain.
“Kita kena pergi ke pusingan kelayakan Olimpik. Ada pasukan lain yang kuat, termasuk pasukan Eropah. Kita tidak tahu mungkin ada Belanda, Sepanyol dan pasukan kuat yang lain. Jadi, kita akan cuba untuk pusingan kelayakan Olimpik,” katanya.
Mengulas aksi final, Fitri berkata Malaysia mampu memberi saingan kepada India pada dua suku pertama sebelum prestasi pasukan mula terjejas akibat kelemahan dalam membuat keputusan.
“Sebagai pemain saya sudah buat yang terbaik. Semua pemain sudah buat yang terbaik. Kita tahu India memang ada kelebihan kerana mereka juara bertahan.
“Dari segi persiapan dan bajet, mereka memang jauh daripada kita tetapi kita cuba untuk menyaingi mereka. Pada suku pertama dan kedua kita masih boleh beri saingan, bila masuk suku ketiga dan keempat kita kurang dari segi membuat keputusan,” katanya.
Fitri berkata Malaysia perlu memperbaiki beberapa aspek permainan menjelang tugasan seterusnya, termasuk pertahanan penalti sudut serta ketajaman ketika menyerang.
“Kita kena lebih baik, terutamanya dari segi pertahanan penalti sudut. Serangan pun kita kena lebih klinikal dalam D. Kalau ada peluang untuk menjaringkan gol, kita kena manfaatkan dan menjaringkannya,” katanya.
Malaysia selepas ini akan mengalihkan fokus kepada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di India dari 27 Okt hingga 5 Nov sebelum meneruskan persiapan menghadapi pusingan kelayakan Olimpik.
-- BERNAMA