IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perak dengan kerjasama Cawangan Risik Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta menggagalkan cubaan memindahkan 63 lembu tanpa kebenaran dari Kelantan ke Lembah Klang melalui laluan Cameron Highlands.
Timbalan Pengarah JPV Negeri Perak Dr Rohaiza Yahaya berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan hasil risikan hampir seminggu sebelum pasukan penguat kuasa berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan yang dipercayai membawa ternakan tersebut.
Beliau berkata kenderaan terbabit ditahan kira-kira 1 hingga 2 pagi tadi di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Simpang Pulai ke Bidor, menghala ke selatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bagi pemindahan ternakan.
“Pihak penguat kuasa turut mendapati keseluruhan bahagian belakang kenderaan telah ditutup menggunakan kanvas, dipercayai sebagai satu daripada modus operandi bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa dan mengelakkan kegiatan tersebut dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rohaiza berkata bagaimanapun, hasil risikan dan tindakan pantas pasukan penguat kuasa berjaya mengesan serta menahan kenderaan terbabit sebelum ternakan tersebut dibawa ke destinasi yang ditetapkan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 36(1), Akta Binatang 1953 [Akta 647] dengan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM15,000 atau hukuman sebagaimana diperuntukkan di bawah akta berkenaan, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA