Am 04/10/2026 11:57 AM

Persidangan Kesihatan Usus Bincang Kesejahteraan Pencernaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Persidangan Kesihatan Usus Bincang Kesejahteraan Pencernaan
Kredit: Malaysia Ayurveda Professionals Association (MAPA)

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Persidangan Kesihatan Usus 2026 dijadual berlangsung di ibu negara pada 11 Okt ini bagi membincangkan pelbagai aspek kesihatan sistem pencernaan, termasuk kaitannya dengan kesejahteraan mental, diabetes dan gangguan gastrousus kronik.

Persidangan bertemakan “Pendekatan Integratif terhadap Kesihatan Pencernaan” itu, bakal menghimpunkan golongan profesional dan pengamal penjagaan kesihatan dari Malaysia dan India untuk bertukar pengetahuan serta pandangan mengenai kesihatan usus.

Pengerusi Penganjur Vaidya Anjali Rajeevan yang juga Ketua Pengamal Ayurveda di Arogya Holistic Care, berkata persidangan itu bertujuan meningkatkan pemahaman terhadap kesihatan usus serta kaitannya dengan kesejahteraan secara keseluruhan.

“Persidangan ini bertujuan menghimpunkan golongan profesional dan pengamal penjagaan kesihatan dari Malaysia dan India untuk memahami lebih mendalam mengenai kesihatan usus serta hubungan pentingnya dengan pencernaan, imuniti, metabolisme, kesihatan mental dan kesejahteraan keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Kesihatan usus merujuk kepada keadaan dan fungsi keseluruhan sistem pencernaan, yang memainkan peranan penting dalam proses penghadaman serta mempunyai kaitan rapat dengan metabolisme, imuniti, kesejahteraan mental dan kualiti hidup.

Satu kajian pada 2025 yang diterbitkan dalam Journal of Gastroenterology and Hepatology dan melibatkan 2,072 rakyat Malaysia mendapati 19.3 peratus daripada mereka mengalami sekurang-kurangnya satu gangguan interaksi usus-otak, dengan masalah sembelit, dispepsia dan cirit-birit antara keadaan yang paling banyak berlaku.

Persidangan itu akan dipenuhi dengan sesi perbincangan mengenai hubungan antara kesihatan usus dan kanser, konsep pencernaan dalam Ayurveda, sindrom usus rengsa (IBS) dan penyakit refluks gastroesofagus (GERD), kaitan antara usus dan diabetes, hubungan usus dengan minda serta gangguan gastrousus kronik.

Persidangan dianjurkan oleh Malaysia Ayurveda Professionals Association (MAPA) dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, serta sokongan daripada Berjaya Group.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Somnath Ghosh dijadual hadir sebagai tetamu kehormat selain Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Dr Suhaila Ismail.

Kemuncak persidangan ialah penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ayurveda MAPA kepada bekas Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Dr Goh Cheng Soon sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam pembangunan dan kemajuan Ayurveda serta perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia.

Persidangan itu akan berlangsung di Manhattan II Ballroom, Aras 14, Berjaya Times Square, di sini, dari 8 pagi hingga 4.40 petang.

-- BERNAMA