Am 04/10/2026 10:44 AM

GP Bahrain Di Malaysia: Grab Pertingkat Operasi Di Lokasi Atasi Kesesakan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GP Bahrain Di Malaysia: Grab Pertingkat Operasi Di Lokasi Atasi Kesesakan

SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- Grab Malaysia mempertingkat operasinya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Tempat Letak Kereta Jangka Panjang (LTCP) di sini bagi melancarkan pergerakan ribuan pengunjung sempena hari terakhir perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026, hari ini.

Dalam kenyataan, Grab Malaysia memaklumkan pasukannya telah ditempatkan di kedua-dua lokasi berkenaan bagi mengurus pergerakan rakan-pemandu, membantu penumpang yang menunggu serta memastikan proses mengambil penumpang berjalan lancar.

“Bagi memastikan pengunjung perlumbaan kekal selesa dalam cuaca panas ini, Grab turut menyediakan kawasan menunggu berbumbung yang dilengkapi kipas penyejuk serta minuman percuma,” katanya.

Syarikat e-hailing itu turut menyediakan perkhidmatan ulang-alik percuma antara SIC dan LTCP bagi memudahkan pengunjung perlumbaan yang bergerak pergi dan balik dari litar.

Grab Malaysia juga memperkenalkan ciri Grab PIN&RIDE, iaitu sistem pengurusan barisan yang direka untuk mengatur barisan penumpang dan memadankan pengguna dengan rakan-pemandu yang tersedia, sekali gus mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di kawasan pengambilan penumpang.

Syarikat tersebut juga bekerjasama dengan penganjur acara bagi mewujudkan lorong khusus untuk mengambil dan menurunkan penumpang dalam usaha melancarkan aliran trafik di sekitar lokasi acara.

Sementara itu, pasukan operasi Grab giat memantau keadaan trafik menerusi GrabMaps bagi menangani kemungkinan peningkatan permintaan, khususnya dengan beberapa acara berlangsung pada hujung minggu ini.

Syarikat itu turut menggalakkan pengunjung perlumbaan membuat perancangan awal, memperuntukkan masa perjalanan tambahan serta mematuhi papan tanda di lokasi ketika bergerak pergi dan balik dari SIC.

Perlumbaan 56 pusingan F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 akan bermula pada 3 petang ini.

Pada Julai, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu bagi mengekalkan GP Bahrain dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

-- BERNAMA