Am 04/10/2026 09:19 AM

Satu Laluan, Gangguan Sistem Punca Kesesakan ICQS Rantau Panjang - AKPS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Satu Laluan, Gangguan Sistem Punca Kesesakan ICQS Rantau Panjang - AKPS
Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini bakal digantikan dengan kompleks baharu bagi menampung peningkatan pergerakan rentas sempadan, susulan pembinaan jambatan kedua Malaysia-Thailand. Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang Siti Khadijah Hamzah berkata cadangan pembinaan kompleks baharu itu telah dirancang Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk pengambilan tanah bagi pembangunan berkenaan yang telah diselesaikan. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA PASIR MAS, Oct 3 - The Rantau Panjang Immigration, Customs, Quarantine and Security (ICQS) Complex will be replaced by a new facility to cope with rising cross-border traffic, following the construction of the second Malaysia-Thailand bridge. Malaysian Border Control and Protection Agency (AKPS) Rantau Panjang commander Siti Khadijah Hamzah said land acquisition for the project, which is under the Home Ministry, has already been completed. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

PASIR MAS, 4 Okt (Bernama) -- Kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang bukan disebabkan oleh kekurangan kaunter pemeriksaan, sebaliknya berpunca daripada hanya satu laluan masuk dan keluar serta gangguan sistem pada waktu tertentu.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang Siti Khadijah Hamzah berkata kesemua kaunter pemeriksaan dibuka sepenuhnya, terutama pada waktu puncak, bagi memastikan pergerakan pengembara dapat diproses dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata ICQS berkenaan mempunyai 12 kaunter pemeriksaan imigresen, iaitu enam kaunter masuk dan enam kaunter keluar.

“Apabila waktu puncak, semua kaunter akan dibuka. Memang kami pastikan kaunter penuh dan tiada yang kosong,” katanya kepada Bernama di Kompleks ICQS Rantau Panjang baru-baru ini.

Siti Khadijah berkata masalah utama berlaku apabila semua kenderaan yang mahu memasuki kompleks perlu menggunakan satu laluan sebelum dipecahkan kepada beberapa lorong pemeriksaan mengikut jenis kenderaan dan pengguna.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan aliran trafik mudah menjadi perlahan apabila jumlah pengembara meningkat.

Selain itu, Siti Khadijah berkata gangguan sistem juga boleh memperlahankan proses pemeriksaan apabila pegawai terpaksa menggunakan prosedur manual.

“Isu kesesakan menjadi antara aduan utama pengguna, terutama pada Jumaat, Sabtu, cuti umum dan musim perayaan.

“Keadaan prasarana yang sudah lama serta keluasan laluan yang terhad turut menyebabkan kapasiti kompleks semakin sukar menampung jumlah pengembara yang meningkat,” katanya.

Sementara itu, Siti Khadijah berkata AKPS sedang merancang penggunaan teknologi lebih canggih, termasuk pengimbas mudah alih, sistem pintu pagar automatik dan kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.

Beliau berkata penggunaan teknologi itu penting bagi meningkatkan kecekapan pemeriksaan, selain membantu menangani kekangan prasarana di kompleks yang telah lama beroperasi.

“Satu CCTV berasaskan AI telah digunakan di kompleks berkenaan manakala beberapa peralatan lain masih dalam perancangan ibu pejabat. Pengimbas mudah alih turut dicadangkan bagi kawasan tertentu yang tidak sesuai untuk pemasangan pengimbas kekal,” katanya.

Siti Khadijah berkata kawasan kargo di ICQS Rantau Panjang mempunyai kekangan dari segi ruang dan kesesuaian pemasangan peralatan pengimbasan tertentu.

Beliau berkata pengarah bahagian IT dan digital sudah “turun padang” melihat keperluan untuk memasang pengimbas mudah alih.

Menurut Siti Khadijah, AKPS juga masih dalam proses peralihan kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) manakala sistem e-gate lama tidak lagi digunakan selepas tamat tempoh kontrak dengan vendor terdahulu.

“Penggunaan dron turut dirancang pada fasa seterusnya bagi memperluas keupayaan pemantauan kawasan sempadan. Pelaksanaan teknologi baharu bergantung kepada keperluan operasi serta peruntukan yang disediakan.

“Daripada segi teknologi, penggunaan teknologi canggih memang selari dengan keperluan. Isunya ialah bajet dan keperluan di lapangan,” katanya.

-- BERNAMA