PRN Johor: Md Ysahrudin Tekad Sambung Misi Belum Selesai Di Bukit Naning
Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
MUAR, 5 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning Md Ysahrudin Kusni enggan menjanjikan bulan dan bintang sebaliknya berikrar untuk terus bekerja bersama-sama rakyat di kawasan itu.
Memegang prinsip realistik, Md Ysahrudin meletakkan penyediaan perkhidmatan ambulans percuma sebagai antara lima tekad utamanya untuk meringankan beban penduduk jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Md Ysahrudin, 47, berkata kemudahan itu amat penting berikutan kedudukan Bukit Naning yang jauh dari Hospital Muar dan Hospital Batu Pahat selain kekangan ambulans di klinik kesihatan sedia ada kerana terikat dengan tugas kecemasan lain.
“Akibatnya, ada penduduk perlu menyewa ambulans swasta dengan kos sekitar RM400 bagi satu perjalanan. Kalau tiga kali, sudah RM1,200 dan itu sangat membebankan.
“Oleh itu, penyediaan ambulans percuma di bawah Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bukit Naning ditawarkan sekiranya diberi mandat pada PRN Johor,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Selain itu, Md Ysahrudin menyifatkan pengalaman 22 bulan sebagai wakil rakyat kerajaan dan 22 bulan sebagai pembangkang sebelum ini sebagai “sekolah terbaik” untuk beliau memahami denyut nadi rakyat dalam apa jua situasi politik.
“Dalam satu penggal itu, saya dapat merasai kedua-dua keadaan dan tahu susah payah menjadi wakil rakyat, sama ada ketika menjadi kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.
Md Ysahrudin pernah memenangi kerusi DUN Bukit Naning pada PRN 2018 sebelum tewas pada pilihan raya negeri berikutnya.
Sepanjang tempoh itu, beliau dapat menggerakkan pembinaan tangki bagi mengatasi masalah tekanan air rendah terutama ketika musim perayaan, namun mengakui masih terdapat kawasan yang berhadapan masalah tekanan air serta sistem perpaipan lama yang memerlukan penyelesaian segera.
Md Ysahrudin berkata masalah liputan Internet lemah di beberapa kawasan turut menjejaskan kehidupan harian penduduk, terutamanya pelajar, dan perkara itu telah dibawa ke perhatian Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang turun meninjau keadaan di Bukit Naning semalam.
Selain itu, beliau akan memberi keutamaan kepada beberapa projek yang tertangguh termasuk pemasangan lampu jalan, pembinaan stesen minyak, penyediaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta penambahbaikan kemudahan awam.
Md Ysahrudin juga berjanji menangani isu gangguan monyet dengan meningkatkan penyediaan perangkap di kawasan yang sering terjejas selain menambah tong sampah jenis Roll-On Roll-Off (RORO) bagi mengurangkan masalah pembuangan sampah haram.
Dari segi pendidikan, beliau berhasrat memperkasakan kelas tuisyen rakyat dan meneruskan bantuan sekali beri (one-off) kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N14: BUKIT NANING: 23,002 pengundi
1. S. Jeghanaathan (Bebas/IND)
2. Md Ysahrudin Kusni (PH-PKR)
3. Mohd Ghazali Sabari @ Atan (BN-UMNO)
4. Iskandar Md Alias (Bersama)
5. Mohd Radzi Amin (PN-Bersatu)
(2022: Datuk Mohd Fuad Tukirin: BN-UMNO: Maj: 1,535)
Berita terkini
- Lepasan Sekolah, Belia Paling Terdedah Kepada Penyalahgunaan Dadah
- Ribut Petir Dan Hujan Lebat Diramal Di KL, Putrajaya Serta Lapan Negeri
- DAP Tidak Pernah Pertikai Hak Melayu, Kerajaan Adil Pada Semua Kaum - PM Anwar
- UMS Kekal Utamakan Pelajar Tempatan, Perkasa Agenda Pengantarabangsaan
- PRN Negeri Sembilan: BN Mungkin Tidak Kekalkan Pendekatan "Kerusi Tradisi" - Mohamad