05/07/2026 11:25 AM

LPPKN Perkasa Institusi Keluarga Melalui Tayangan ‘Papazola The Movie’ Sempena Hari Bapa

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Filem animasi tempatan terbitan Monsta, Papa Zola The Movie dipilih sebagai medium utama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menyampaikan mesej kasih sayang, tanggungjawab dan kekeluargaan sempena Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.

Langkah memanfaatkan pendekatan seni kreatif itu dilaksanakan menerusi satu acara tayangan khas yang dihadiri lebih 300 bapa, ibu, dan anak-anak, sekali gus menjadi platform interaktif dalam memperkasa institusi kekeluargaan di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN Hairil Fadzly Md Akir berkata naskhah animasi itu dipilih kerana berjaya menyampaikan mesej kekeluargaan secara santai, mudah difahami dan berkesan kepada penonton daripada pelbagai peringkat usia.

Beliau berkata di sebalik unsur komedi dan hiburan yang dibawakan, filem berkenaan berjaya mengangkat nilai pengorbanan, keprihatinan, dan kasih seorang bapa, selain mempamerkan kepentingan sokongan serta kebersamaan dalam sesebuah keluarga.

“Monsta telah membuktikan keupayaannya menghasilkan animasi tempatan berkualiti yang menghiburkan serta sarat dengan nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati, tanggungjawab dan empati dalam institusi keluarga. 

“Nilai inilah yang turut menjadi teras kepada usaha LPPKN dalam memperkukuh kesejahteraan keluarga sebagai asas kepada pembentukan masyarakat dan negara yang sejahtera,” katanya ketika tayangan khas filem animasi berkenaan di sini semalam. 

Hairil Fadzly berkata LPPKN sentiasa berusaha menyampaikan mesej kekeluargaan menerusi pelbagai platform, termasuk pendekatan seni kreatif yang lebih dekat dengan masyarakat dan relevan dengan minat generasi masa kini.

Beliau berkata sebagai agensi peneraju pembangunan keluarga di Malaysia, LPPKN juga terus komited memperkasakan institusi keluarga melalui pelbagai program pendidikan kekeluargaan, keibubapaan, pembangunan lelaki, kesejahteraan keluarga serta pengukuhan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

“Detik paling bermakna dalam keluarga tidak semestinya melibatkan perkara besar, tetapi masa berkualiti yang diluangkan bersama. LPPKN menggalakkan keluarga memperuntukkan masa bersama bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“LPPKN percaya bahawa keluarga yang kukuh akan melahirkan masyarakat harmoni, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara mampan. Selaras dengan aspirasi Agenda Nasional Kasih Keluarga Negara (ANKKN),” katanya sambil menambah pendekatan itu sekali gus membudayakan nilai KASIH yang merangkumi Kasih Sayang, Akhlak, Selamat dan Sihat Fizikal, Ilmu serta Harmoni.

--BERNAMA

 

 

 


 

Kata kunci