05/07/2026 01:38 PM

Lebih 842,000 Isi Rumah Di AS Terputus Bekalan Elektrik Pada Hari Kemerdekaan

NEW YORK/ISTANBUL, 5 Julai (Bernama-Anadolu) -- Lebih 842,000 isi rumah di Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu terputus bekalan elektrik akibat cuaca ekstrem semasa sambutan Hari Kemerdekaan AS, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut laman sesawang PowerOutage, cuaca panas ekstrem menjejaskan negeri-negeri di Midwest dan Timur Laut negara itu.

Suhu ekstrem itu turut mengganggu sambutan ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan AS di beberapa kawasan negara itu, termasuk perarakan yang dijadual berlangsung pada sebelah pagi di Washington, D.C., yang terpaksa dibatalkan.

Pesta Great American State Fair di ibu negara itu turut ditutup sementara selepas ramai pengunjung menerima rawatan akibat penyakit berkaitan cuaca panas.

Amtrak, yang mengendalikan perkhidmatan kereta api negara itu, mengumumkan pembatalan beberapa perkhidmatan tren berikutan cuaca panas ekstrem.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, lebih 165 juta penduduk, khususnya di Pantai Timur dan Midwest, terjejas akibat suhu yang memecahkan rekod pada Jumaat.

Di beberapa bandar di negeri New York, New Jersey, Pennsylvania dan Delaware, suhu mencecah 39.5 darjah Celsius pada Jumaat, sekali gus memecahkan rekod suhu tertinggi yang pernah dicatatkan.

-- BERNAMA-ANADOLU