05/07/2026 01:36 PM

Pakistan, Turkiye Ikrar Perkukuh Hubungan Ekonomi Semasa Lawatan Shehbaz Ke Istanbul

Oleh Shakir Husain

HYDERABAD, 5 Julai (Bernama) -- Pakistan dan Turkiye berikrar untuk membina hubungan ekonomi yang lebih kukuh semasa rundingan antara Perdana Menteri Shehbaz Sharif dan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Istanbul pada Sabtu.

Selain membincangkan isu dua hala dan serantau bersama Erdogan, perdana menteri Pakistan itu turut menyampaikan ucapan di persidangan perniagaan Pakistan-Turkiye yang dihadiri syarikat-syarikat utama Turkiye.

Kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk mencapai sasaran perdagangan tahunan sebanyak US$5 bilion selain meneroka kerjasama dalam bidang tenaga, pengangkutan, mineral kritikal dan teknologi digital.

Shehbaz berkongsi visi kerajaannya untuk mewujudkan koridor digital Pakistan-Turkiye bagi memperkukuh kesalinghubungan digital serantau, memudahkan aliran data rentas sempadan yang selamat serta memajukan integrasi infrastruktur digital dalam pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Turkcell, Ali Taha Koc, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Pakistan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar, bersama menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio maritim, tenaga elektrik, petroleum, penswastaan, teknologi maklumat dan telekomunikasi, turut membincangkan potensi pelaburan dengan syarikat-syarikat Turkiye di luar persidangan perniagaan itu.

Turut hadir ialah barisan eksekutif tertinggi konglomerat Koc Holding, pengeluar peralatan rumah Arcelik, syarikat pengedaran gas Aygaz dan Demir Export.

"Perbincangan tertumpu kepada usaha mempertingkat kerjasama dalam sektor tenaga, pembuatan, perlombongan dan pelaburan perindustrian, di samping meneroka peluang baharu untuk memperkukuh perkongsian ekonomi Pakistan-Turkiye," menurut Kementerian Luar Pakistan menerusi platform X.

-- BERNAMA