05/07/2026 01:15 PM

Sultan Kedah Mahu Langkawi Dibangunkan Berteraskan Identiti Sendiri

ALOR SETAR, 5 Julai (Bernama) -- Pembangunan Pulau Langkawi perlu dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri tanpa meniru atau membandingkan dengan destinasi pelancongan lain seperti Phuket, Thailand atau Bali, Indonesia.

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah Pulau Langkawi aset strategik kepada negeri dan negara selain berperanan sebagai destinasi pelancongan utama serta pemangkin pertumbuhan ekonomi Kedah.

“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-84 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Sultan Kedah turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan melakukan sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan imej serta reputasi Pulau Langkawi.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut memandang serius kelewatan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik termasuk Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit yang belum disiapkan sejak sekian lama.

Menurut baginda, kelewatan itu mengakibatkan kejadian banjir berulang yang menjejaskan penduduk di kawasan terlibat dan menyarankan tindakan segera agar rakyat tidak dibebani masalah sama.

Yang turut berangkat ke istiadat itu ialah Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah Che Puan Nur Julie Ariff.

-- BERNAMA