05/07/2026 11:18 AM

Latihan Digital, Internet Lebih Baik Pacu Potensi Kampung Istana

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 5 Julai (Bernama) -- Penduduk Kampung Istana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram menyambut baik hasrat Kementerian Komunikasi untuk membantu membangunkan potensi ekopelancongan kampung itu menerusi latihan pemasaran digital serta penambahbaikan capaian Internet.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Istana Abd Jalil Ali berkata inisiatif itu amat bermakna kepada kira-kira 1,300 penduduk di kampung berkenaan, khususnya dalam usaha menjana ekonomi komuniti setempat.

Beliau berkata walaupun Kampung Istana terletak di tengah-tengah bandar Batu Pahat, identitinya sebagai kampung tradisional masih dikekalkan sejak mula dibuka pada 1910-an, selain mempunyai tarikan tersendiri kerana berdekatan kawasan rekreasi seperti Bukit Banang dan Bukit Soga.

“Kami memang teruja apabila Kampung Istana dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi tahun ini. Dengan sokongan latihan pemasaran digital, Internet lebih baik dan kemudahan yang dinaik taraf, kami harap kampung ini dapat lebih dikenali sebagai kawasan yang berpotensi untuk ekopelancongan.

“Penduduk di sini juga boleh mula belajar cara mempromosikan produk, aktiviti dan keunikan kampung ini melalui platform digital, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan komuniti,” katanya ketika ditemui Bernama pada program Majlis Ramah Mesra Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersama penduduk Kampung Istana di sini semalam. 

Fahmi pada majlis itu berkata Kampung Istana berpotensi dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan dengan sokongan latihan pemasaran digital kepada usahawan tempatan serta capaian Internet yang lebih baik bagi menjana ekonomi penduduk.

Abd Jalil berkata pemilihan Kampung Istana sebagai Kampung Angkat MADANI turut memberikan manfaat langsung kepada penduduk apabila beberapa kemudahan awam, termasuk balai raya kampung telah dinaik taraf.

Beliau berkata menerusi pelaksanaan kampung angkat itu, balai raya berkenaan dinaik taraf dengan kemudahan asas lebih baik, termasuk tandas, stor, struktur bangunan lebih kukuh serta kerja luaran dan kemasan yang lebih moden.

Selain kerja naik taraf balai raya, program kampung angkat turut membuka ruang kepada komuniti setempat untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan pembangunan penduduk.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Muafakat Belia Kampung Istana Mohamad Afnan Amran berkata golongan belia turut menyambut baik usaha kerajaan memperkukuh kemudahan awam dan capaian Internet di kampung berkenaan.

Beliau berkata kemudahan Internet yang lebih baik amat penting bagi membolehkan anak muda memanfaatkan peluang ekonomi digital tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.

“Anak muda di sini memang perlukan ruang dan kemudahan yang lebih baik. Kalau Internet lebih stabil dan ada latihan promosi digital, kami boleh bantu mempromosikan kampung, produk tempatan serta aktiviti komuniti kepada orang luar,” katanya.

-- BERNAMA