05/07/2026 12:01 PM

Kehadiran PM Anwar Suntik Semangat Jentera, Calon PH Di Machap, Layang-layang

KLUANG, 5 Julai (Bernama) -- Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari kesembilan tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah menyuntik semangat luar biasa kepada jentera Pakatan Harapan (PH), khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Layang-Layang di sini untuk memperhebat gerak kerja menjelang hari pengundian 11 Julai ini.

Calon PH bagi DUN Machap, Nur Hafiz Roslan berkata kunjungan Pengerusi PH itu bukan sekadar memberikan suntikan motivasi kepada calon dan jentera, malah membawa mesej jelas supaya setiap usaha sepanjang kempen berteraskan khidmat kepada rakyat.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan supaya mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh serta melakukan “amal soleh” dalam setiap urusan membela kebajikan rakyat.

“Pesanan Perdana Menteri jelas, kita datang bukan untuk bermusuh, tetapi untuk berbakti kepada rakyat. Saya akan pastikan perkhidmatan yang diberikan adalah tanpa prejudis. Kita datang di sini, terutama di bawah Parlimen Simpang Renggam, DUN Machap dan juga di DUN Layang-Layang adalah untuk berbakti kepada rakyat.

“Dengan kedatangan Perdana Menteri pagi ini bagi saya sendiri dan kawan saya (calon PH) di DUN Layang-Layang Guna Balakrishnan, kami akan bergerak lebih bersemangat bersama dengan keseluruhan jentera bagi menyantuni seluruh masyarakat,” katanya pada program PMX Santai Sarapan Bersama Masyarakat di pekan Simpang Renggam, di sini hari ini.

Sementara itu, Guna berkata kehadiran pemimpin nombor satu negara itu sangat membantu dalam usaha mendekatkan dirinya secara langsung dengan masyarakat tempatan.

Beliau berkata walaupun sokongan penduduk tempatan dinilai sebagai sangat baik, usaha menyantuni rakyat perlu dipertingkatkan dan tidak boleh dipandang ringan.

“Perdana Menteri turut memberitahu saya, sekiranya saya diberi mandat, saya perlu membangunkan tempat ini dan perlu membantu penduduk setempat,” katanya.

Program berkenaan turut menarik kehadiran lebih 1,000 penduduk yang mengambil peluang bertemu secara dekat dengan Perdana Menteri.

Bagi warga Simpang Renggam, Chuan Chee Mei, 48, kehadiran Perdana Menteri pada hari ini memberikan keyakinan kepada beliau sekeluarga untuk memilih calon PH.

“Apabila tengok Anwar bersungguh-sungguh menyokong calon dan hadir dalam program bersama rakyat, saya semakin bersemangat untuk memberikan mandat kepada calon-calon yang bertanding,” katanya.

Senada dengan beliau, Noor Takiyudin Salleh, 38, turut menyatakan hasrat sama untuk memilih calon PH.

“Perdana Menteri datang sini memang sempoi, santai sahaja programnya dengan rakyat. Saya tengok ramai juga yang hadir, anggaran kehadiran lebih 1,000 orang. Memang luar biasa,” katanya.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA