05/07/2026 10:24 AM

Peniaga, Nelayan Sungai Rengit Harap Wakil Rakyat Selesaikan Kemelut Prasarana

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KOTA TINGGI, 5 Julai (Bernama) -- Selepas hampir sedekad beroperasi di tapak sementara, komuniti peniaga di Medan Selera Sungai Rengit di sini menaruh harapan tinggi agar wakil rakyat yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dapat menamatkan kemelut prasarana dan keselamatan yang membelenggu mereka.

Pekan pesisir Sungai Rengit yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat merupakan lokasi tumpuan strategik bagi penduduk dan pekerja industri Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Walau bagaimanapun, kedaifan fasiliti di medan selera berkenaan menjejaskan keselesaan peniaga serta pelanggan.

Rata-rata peniaga berkata mereka terpaksa berniaga dalam keadaan kurang selesa sejak dipindahkan dari lokasi asal bagi memberi laluan kepada projek pembangunan, selain menyifatkan tapak baharu yang disediakan berhampiran lokasi sementara itu kurang strategik untuk mereka menjalankan perniagaan.

Peniaga aneka minuman, Lai Swee Hong, 56, berkata walaupun tapak baharu telah disediakan, lokasinya kurang sesuai kerana ruang parkir yang terhad selain berada di laluan sehala, sekali gus menyukarkan urusan peniaga dan pelanggan.

“Jadi, kami mahu terus beroperasi di tapak sementara ini kerana lokasinya lebih strategik dan pelanggan juga sudah biasa datang ke sini namun kami berharap ia dapat dinaik taraf,” katanya ketika ditemui Bernama di tapak sementara Medan Selera Sungai Rengit di sini baru-baru ini.

Lai berkata pada awalnya dia dan peniaga yang lain dimaklumkan hanya akan beroperasi di tapak sementara itu selama kira-kira setahun setengah, namun proses perpindahan ke lokasi baharu mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan tanpa mengetahui punca sebenar.

Dia berkata ketiadaan kemudahan asas yang kukuh menyebabkan gerai di tapak sementara itu yang hanya berbumbungkan kanopi dan berdindingkan papan lapis kini dalam keadaan daif, selain terdedah kepada ancaman jenayah.

“Gerai kami tiada pintu hingga mudah dimasuki pencuri selain terdedah kepada tempias hujan dan cuaca panas,” katanya yang telah berniaga selama 30 tahun. 

Senada dengannya, peniaga makanan, Wini Fasiha Zawawi, 35, berharap aspek keselamatan diberi perhatian segera susulan beberapa kes kecurian di medan selera berkenaan sejak tahun lepas.

Penduduk di kawasan Sungai Rengit itu berkata walaupun laporan polis telah dibuat serta permasalahan tersebut dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), tiada sebarang tindakan dilaksanakan dari aspek keselamatan.

“Walaupun polis membuat rondaan, kes kehilangan barang tetap berlaku dan menjejaskan pendapatan kami sebagai peniaga kecil meskipun kerugiannya tidak mencecah ribuan ringgit,” katanya dan menambah pernah kehilangan beberapa perkakas dapur akibat kes kecurian itu.

Selain isu peniaga, komuniti nelayan di Sungai Rengit turut menyuarakan harapan agar kebajikan mereka terus terbela, terutama dalam mendepani tekanan kos sara hidup dan peningkatan kos operasi ke laut.

Nelayan dari Kampung Sungai Rengit, Sin Hock Hwee, 65, berkata bantuan seperti subsidi bahan api sedia ada perlu diteruskan dan dipertingkatkan bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup serta kos operasi.

“Subsidi minyak memang banyak membantu, jadi kami harap ia dapat diteruskan dan kalau boleh ditambah supaya kami dapat terus mencari rezeki tanpa terlalu terbeban dengan kos operasi,” katanya yang mencari rezeki sebagai nelayan sejak berusia 15 tahun.

Bagi Hidayat Isa, 35, dia mahukan wakil rakyat yang proaktif dalam menaik taraf kemudahan di jeti serta peka terhadap suara nelayan muda di kawasan itu.

“Kemudahan di jeti, bantuan kepada nelayan serta suara kami perlu terus didengari supaya komuniti nelayan di Sungai Rengit dapat terus berkembang dan harap Kampung Sungai Rengit boleh dijadikan kampung angkat buat wakil rakyat seterusnya,” kata pengundi berdaftar di DUN Tanjung Surat itu.

DUN Tanjung Surat menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Faizul Abdul Ghani dan penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Aznan Tamin.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai 

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA

 

N39: TANJUNG SURAT : 26,943 pengundi

 

1. Faizul Abdul Ghani (PH-PKR)

2. Aznan Tamin (BN-UMNO)

 

(2022: Aznan Tamin: UMNO: Maj: 5,903)