Aksi Dramatik Saat Akhir Warnai Pusingan 32 Terbaik Piala Dunia FIFA
NEW YORK, 4 Julai (Bernama-Xinhua) -- Pusingan 32 terbaik menjadikan Piala Dunia FIFA edisi kali ini sebagai kejohanan yang menyaksikan banyak perlawanan ditentukan oleh perbezaan yang amat tipis, lapor Xinhua.
Lapan daripada 13 perlawanan pertama pusingan kalah mati ditentukan dalam tempoh 10 minit terakhir masa sebenar permainan, masa tambahan atau menerusi penentuan sepakan penalti.
Format baharu yang diperluaskan kepada 48 pasukan sebelum ini dijangka oleh sesetengah pihak akan mengurangkan elemen dramatik pada fasa kedua kejohanan itu.
Sebaliknya, ia menghadirkan pelbagai kejutan dan debaran yang lazimnya dikaitkan dengan peringkat akhir Piala Dunia.
Tiada keputusan yang lebih jelas menggambarkan keadaan itu selain kebangkitan luar biasa Belgium ketika menentang Senegal.
Ketinggalan 2-0 ketika masa sebenar permainan hanya berbaki lima minit, Belgium bangkit menerusi jaringan Romelu Lukaku dan Youri Tielemans sebelum Tielemans sekali lagi meledak gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-125.
Gol itu merupakan jaringan paling lewat dalam sejarah Piala Dunia, sekali gus menghadiahkan kemenangan 3-2 kepada skuad kendalian Rudy Garcia yang sebelum itu dilihat hampir mustahil.
"Ia satu kekalahan yang kejam kerana kami bermain dengan baik. Kami mendahului 2-0.
"Namun, perlawanan bola sepak bukan hanya berlangsung selama 85 minit," kata pengendali Senegal Pape Thiaw selepas perlawanan.
Portugal turut mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik pada saat-saat akhir. Goncalo Ramos meletakkan pasukannya di hadapan ketika menentang Croatia menerusi tandukan pada masa kecederaan sebelum gol penyamaan Croatia dibatalkan kerana ofsaid.
Keputusan itu membawa Portugal mara ke pusingan 16 terbaik, sekali gus menandakan penampilan terakhir yang penuh emosi buat kapten Croatia berusia 40 tahun, Luka Modric, di pentas Piala Dunia.
England pula hanya beberapa minit daripada tersingkir secara mengejut selepas ketinggalan kepada Republik Demokratik Congo seawal minit ketujuh.
Harry Kane akhirnya memecah kebuntuan menerusi gol penyamaan pada minit ke-75 sebelum menambah satu lagi jaringan 11 minit kemudian bagi mengekalkan harapan negaranya untuk muncul juara Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.
Pada ketika itu, situasi berkenaan tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada corak yang semakin ketara, menurut penulis sukan Xinhua, Cao Jianjie dan Zhao Yan.
Norway pula mendapat ganjaran atas kesabarannya apabila Erling Haaland meledak gol kemenangan pada minit ke-86 ketika menentang Ivory Coast.
Bagaimanapun, Orjan Nyland terpaksa melakukan satu aksi menyelamat pada masa kecederaan bagi memastikan kemenangan 2-1, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama Norway dalam pusingan kalah mati Piala Dunia.
"Selepas mereka menyamakan kedudukan, mudah untuk kami panik. Namun, kami berjaya meletakkan pemain di posisi yang betul dan kembali memainkan corak permainan kami," kata pengendali Norway Stale Solbakken.
Sementara itu, Maghribi mengheret Belanda ke masa tambahan menerusi gol penyamaan pada minit ke-91 sebelum muncul pemenang menerusi penentuan sepakan penalti.
Paraguay pula menyingkirkan Jerman menerusi penentuan sepakan penalti selepas terselamat daripada bolos hasil jaringan pada masa tambahan yang dibatalkan, manakala Kanada dan Brazil turut memerlukan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk meneruskan kemaraan mereka.
Dalam pusingan kalah mati Piala Dunia, hanya satu detik mampu membezakan antara terus bertahan dalam saingan atau pulang awal.
-- BERNAMA-XINHUA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung
- Program Ziarah Kasih Buka Peluang Usahawan OKU Teroka Pemasaran Digital