Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
SIBU, 4 Julai (Bernama) -- Jabatan Bedah Saraf Hospital Sibu telah berkembang menjadi antara pusat rujukan serantau utama dengan menyediakan perkhidmatan kepakaran bedah saraf kepada lebih sejuta penduduk di kawasan tengah Sarawak, meliputi Bintulu hingga Betong.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata melalui keazaman, inovasi dan ketabahan, jabatan itu berjaya mejadikan perkhidmatan kepakaran bedah saraf lebih dekat dengan masyarakat di wilayah ini.
Beliau berkata sejak 2013, jabatan itu telah menjana penjimatan terkumpul lebih RM500 juta dengan mengurangkan keperluan pemindahan pesakit melalui pengangkutan perubatan ke Kuching melibatkan kos yang tinggi.
"Jabatan ini turut mengendalikan klinik pakar bergerak di Mukah, Bintulu, Sarikei dan Kapit, sekali gus mengurangkan beban kewangan, logistik dan masa yang ditanggung pesakit, selain meningkatkan pematuhan terhadap rawatan susulan," katanya ketika merasmikan Persidangan Transforming Brain Injury 6.0 (TBI 6.0) di sini hari ini.
Hanifah Hajar turut merakamkan penghargaan kepada jabatan tersebut yang diterajui oleh Dr. Nelson Yap Kok Bing atas sumbangan cemerlangnya dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan di kawasan tengah Sarawak.
"Pencapaian Jabatan Bedah Saraf Hospital Sibu membuktikan apa yang mampu dicapai melalui visi, komitmen dan kepimpinan yang kukuh. Ia merupakan model pembangunan perkhidmatan kepakaran kesihatan di luar bandar yang wajar diberi pengiktirafan di peringkat nasional," katanya.
Hanifah Hajar berkata Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, institusi penjagaan kesihatan, universiti serta badan profesional bagi memperkukuh perkhidmatan kepakaran, meningkatkan infrastruktur penjagaan kesihatan dan membangunkan kepakaran tempatan.
Beliau berkata transformasi penjagaan kesihatan yang mampan bukan sahaja bergantung kepada pembangunan infrastruktur dan penyediaan peralatan, malah memerlukan pelaburan berterusan dalam pembangunan doktor, jururawat, profesional kesihatan bersekutu, penyelidik serta bakal pemimpin sektor penjagaan kesihatan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Young Tigers Uji Taring Di Jepun Hadapi Piala Remaja Asia 2026
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung