Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung
GEORGE TOWN, 4 Julai (Bernama) -- Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang dan Karnival Kaligrafi Perpaduan 2026 menyasarkan kira-kira 350,000 pengunjung secara fizikal dan dalam talian sepanjang empat hari penganjuran bermula semalam hingga Isnin ini di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini.
Penyelaras Program dan Aktiviti Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang 2026 Azizah Zainol berkata sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak hari pertama.
“Kehadiran pengunjung tidak putus sehingga kami terpaksa mengasingkan pintu masuk dan keluar bagi melancarkan pergerakan.
"Buat julung-julung kali pesta ini diangkat ke peringkat ASEAN, sekali gus menghimpunkan penyertaan penulis, penerbit dan peserta dari beberapa negara," katanya ditemui Bernama di pesta buku berkenaan hari ini.
Beliau berkata pesta itu turut disertai wakil dari Indonesia dan Singapura selain penyertaan dari China dan Taiwan yang memeriahkan lagi pengisian program.
Azizah berkata sebanyak 10 hingga 15 penulis terkenal dari dalam dan luar negara dibawakan khas untuk menyertai sesi bersama peminat menerusi program Bicara Buku dan pelbagai aktiviti lain.
Beliau berkata 81 pempamer utama mengambil bahagian pada pesta buku yang bermula 10 pagi hingga 10 malam itu manakala Festival Kaligrafi Perpaduan pula melibatkan 46 penyertaan.
Selain itu, katanya pelbagai aktiviti disediakan termasuk sesi Bicara Buku, pelancaran buku, pertandingan mewarna, kuiz Kahoot, pertandingan membakar kek cawan, kuiz sains, audio siar, persembahan kebudayaan serta program bersama agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Sungai Petani, Kedah, V.Kartikh, 40, berkata dia membawa isteri dan tiga anak ke pesta buku berkenaan selepas melihat promosi penganjurannya menerusi Facebook.
“Semua anak saya memang minat membaca buku. Kebetulan hari ini cuti hujung minggu, jadi kami ambil peluang datang ke sini bagi melihat pelbagai buku dijual," katanya.
Pasangan suami isteri Mohamad Rozan Radzi, 36, dan Suhaila Akma Abdul Hamid, 35, pula berkata mereka membawa dua anak berusia tujuh dan 10 tahun serta membelanjakan hampir RM300 untuk membeli buku latihan dan novel.
Suhaila Akma yang juga seorang jurutera berkata berpeluang berinteraksi dengan penulis buku menjadikan kunjungannya lebih bermakna berbanding pembelian secara dalam talian, malah lebih murah kerana mendapat potongan harga hingga 70 peratus mengikut jenis buku.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Young Tigers Uji Taring Di Jepun Hadapi Piala Remaja Asia 2026
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung