04/07/2026 08:00 PM

Program Ziarah Kasih Buka Peluang Usahawan OKU Teroka Pemasaran Digital

BATU PAHAT, 4 Julai (Bernama) -- Program Ziarah Kasih bukan hanya menyantuni golongan memerlukan melalui penyampaian bantuan malah menjadi platform untuk kerajaan mengenal pasti keperluan rakyat dan berkongsi penyelesaian yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Pendekatan itu dirasai usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal Mohd Norizuwan Ismail, 41, apabila kunjungan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ke rumahnya di Kampung Buloh Laut, Senggarang di sini hari ini membuka peluang untuk dia meneroka pemasaran digital bagi mengembangkan perniagaan lai chi kang yang diusahakannya.

Mohd Norizuwan, yang menghidap penyakit tulang rapuh, berkata selama ini dia hanya menjual lai chi kang secara tempahan selain meletakkannya di warung berhampiran kerana tidak mempunyai pengetahuan mengenai pemasaran dalam talian.

“Bila YB (Yang Berhormat) datang, beliau cadangkan saya buat siaran langsung di TikTok dan bawa pegawai untuk tunjuk cara menggunakan media sosial bagi mengembangkan perniagaan.

“Pada saya, ia memang sangat membantu,” katanya kepada Bernama selepas kunjungan itu. 

Mohd Norizuwan juga berkata bimbingan itu memberi harapan baharu untuk mengembangkan perniagaannya tanpa terlalu bergantung kepada jualan secara bersemuka sekali gus membolehkan dia menjangkau lebih ramai pelanggan.

“Sebagai orang yang tidak begitu mahir menggunakan teknologi, bimbingan itu membuka peluang untuk saya meningkatkan pendapatan dan meluaskan pasaran produk saya,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut menziarahi Norreyan Minhat, 50, yang tidak lagi bekerja selepas diserang strok beberapa tahun lepas di rumahnya di Taman Desa Seri Banang di sini.

Program Ziarah Kasih ialah inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia yang bertujuan menyantuni golongan sasar seperti warga emas, pesakit terlantar, OKU dan keluarga asnaf melalui penyampaian bantuan keperluan asas.

Selain meringankan beban penerima, program itu bertujuan memperkukuh hubungan dan jaringan komunikasi antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat, di samping memupuk semangat keprihatinan, kebersamaan serta tanggungjawab sosial selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA