Piala Dunia: Presiden Paraguay Percaya Tahyul, Jurulatih Sifatkan Perancis Sebagai "Ribut Petir"
PHILADELPHIA/BUENOS AIRES, 4 Julai (Bernama-dpa) -- Presiden Paraguay Santiago Peña tidak akan menghadiri perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia membabitkan pasukan negaranya menentang Perancis pada Sabtu atas faktor kepercayaan tahyul, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Sebagai presiden, saya sentiasa menerima jemputan untuk setiap perlawanan. Namun, saya juga harus mengakui bahawa saya sebenarnya percaya sedikit kepada tahyul. Oleh sebab itu, saya lebih rela menonton perlawanan itu dari rumah sahaja," kata Peña kepada akhbar tempatan, Hoy.
Peña sebelum ini menghadiri perlawanan pembukaan menentang pasukan penganjur bersama, Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan Paraguay tewas 1-4.
Beliau tidak lagi hadir ke stadium selepas perlawanan itu, dan Paraguay kemudiannya berjaya menewaskan Turki 1-0, seri 0-0 dengan Australia, sebelum melakar kejutan menumbangkan juara empat kali, Jerman 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam pusingan 32 terakhir.
Peña sebenarnya berhasrat untuk menyaksikan perlawanan menentang Jerman itu, namun ia bertembung dengan Sidang Kemuncak Mercosur yang berlangsung di ibu negara, Asunción. Beliau kemudiannya mengisytiharkan cuti umum kebangsaan susulan kejayaan bersejarah berkenaan.
Bagaimanapun, tugas mencabar menanti Paraguay apabila bakal berdepan pilihan utama kejohanan, Perancis. Jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro sempat membuat perbandingan dengan fenomena alam bagi menggambarkan jentera serangan Perancis yang diterajui Kylian Mbappé, Ousmane Dembélé dan Michael Olise.
"Saya anak kampung, dan setiap kali ribut petir melanda Rafaela, saya tahu saya perlu mencari tempat perlindungan – tetapi bukan di bawah pokok, kerana kilat boleh menyambar di situ," katanya.
"Perancis adalah ribut petir, dan hampir kesemua kilatnya menyambar ke bumi. Tugas kami adalah untuk melindungi diri kami daripada ribut petir ini, katanya.
"Perlawanan esok bukan seperti perlawanan biasa yang lain, ia sama sekali berbeza kerana kami akan menentang pasukan nombor satu dunia. Saya berharap Paraguay akan mengharungi lebih banyak perlawanan seperti ini pada masa hadapan," kata jurulatih skuad yang pernah melangkah ke suku akhir pada edisi 2010 itu.
Alfaro berkata kemenangan ke atas Jerman sebelum ini telah melonjakkan moral pasukan sambil berkata: "Keyakinan adalah seperti sebaldi air, apabila anda menang, ia akan bertambah – dan kemenangan ke atas Jerman itu adalah seperti mendapat sebuah tangki air tambahan."
-- BERNAMA-dpa
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung
- Program Ziarah Kasih Buka Peluang Usahawan OKU Teroka Pemasaran Digital