04/07/2026 07:09 PM

Gabungan Muzik "America The Beautiful", "Tanah Pusaka" Perkukuh Hubungan Malaysia-AS

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kerjasama muzik unik yang menggabungkan lagu patriotik Amerika Syarikat (AS), "America the Beautiful", dan lagu patriotik Malaysia "Tanah Pusaka" mencerminkan bagaimana muzik boleh menjadi alat diplomasi moden untuk memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Kedutaan AS di Kuala Lumpur menggunakan muzik bagi mendekati rakyat Malaysia di luar lingkungan diplomatik tradisional, termasuk khalayak di Semenanjung Malaysia dan Borneo, kata Kaunselor Diplomasi Awamnya, Morgan O'Brien.

Beliau berkata diplomasi budaya pada masa kini perlu melangkaui imej "diplomat yang terlalu formal" dan suasana rasmi, sebaliknya berhubung secara langsung dengan masyarakat melalui platform dan medium yang lebih dekat dengan mereka.

"Khalayak kami bukan lagi sekadar diplomat yang terlalu formal. Kami mahu mendekati masyarakat, sama ada di Semenanjung mahupun di Borneo," katanya dalam temu bual di program Bernama World terbitan Bernama TV.

O'Brien berkata kerjasama muzik khas kedutaan itu yang menggabungkan "America the Beautiful" dan "Tanah Pusaka" merupakan sebahagian daripada usaha untuk keluar daripada norma tradisional yang telah membentuk amalan diplomasi selama berabad-abad.

"Ini merupakan cara untuk kami keluar daripada norma tradisional yang telah membentuk amalan diplomasi selama berabad-abad dan mencari pendekatan yang lebih moden untuk menjalinkan hubungan antara rakyat," katanya.

Projek itu dihasilkan sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS yang disambut pada 4 Julai dan menghimpunkan pemuzik Amerika serta Malaysia dalam satu gubahan patriotik yang unik.

O'Brien berkata muzik dipilih sebagai medium utama kerana ia membolehkan kedua-dua negara berhubung dengan cara yang lebih dekat dan tidak dijangka.

"Apabila bercakap mengenai diplomasi, kita biasanya tidak mengaitkannya dengan muzik. Namun, ini merupakan cara yang amat baik untuk berhubung dengan rakyat Malaysia dengan cara yang tidak mereka jangkakan," katanya.

Beliau berkata kerjasama itu membantu menyatukan budaya Amerika dan Malaysia serta membina hubungan yang dapat memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat kedua-dua negara.

O'Brien berkata teknologi dan media sosial turut membolehkan diplomasi budaya menjangkau khalayak yang jauh lebih luas berbanding tanggapan tradisional bahawa diplomasi berlangsung di sebalik pintu tertutup.

Beliau berkata kerjasama itu juga mencerminkan hubungan erat antara rakyat Malaysia dan AS menerusi pendidikan, pertukaran budaya serta rangkaian alumni.

O'Brien turut memberi contoh artis dan profesional Malaysia yang melanjutkan pengajian di AS sebelum kembali menyumbang kepada sektor kreatif, perniagaan dan perkhidmatan awam negara sebagai bukti manfaat bersama daripada pertukaran berkenaan.

"Kami amat berbangga mengenal pasti bakat rakyat Malaysia dan kemudian bekerjasama dengan mereka. Hubungan ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata bakat Malaysia yang menghabiskan tahun-tahun awal pembentukan diri mereka di AS sering pulang dengan perspektif baharu, manakala rakyat Amerika juga mendapat manfaat melalui pendedahan terhadap Malaysia menerusi program pertukaran itu.

O'Brien turut menyifatkan muzik sebagai bahasa sejagat yang mampu menjadi jambatan berkekalan antara kedua-dua budaya.

Sementara itu, komposer dan penerbit muzik terkenal Malaysia Helen Yap berkata idea menggabungkan "America the Beautiful" dan "Tanah Pusaka" pada mulanya agak mencabar kerana kedua-dua lagu itu membawa makna patriotik yang sangat mendalam.

"Apabila pertama kali saya mendengar perkataan "mashup", saya berkata, "Wau, menarik." Ini akan menjadi satu cabaran yang tidak dijangka bagi saya dan sesuatu yang di luar zon selesa saya," katanya.

Yap berkata beliau akhirnya memilih "Tanah Pusaka" kerana lagu itu sesuai digabungkan dengan "America the Beautiful", sambil menambah bahawa kajian yang teliti diperlukan bagi memastikan kedua-dua lagu itu dapat digabungkan secara harmoni.

Beliau berkata matlamat utama gubahan itu adalah untuk membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan pendengar di kedua-dua negara.

Yap, yang pernah menuntut di Berklee College of Music di AS, berkata pengalaman itu banyak membentuk pemahamannya mengenai muzik jazz, gubahan muzik dan penerbitan muzik.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang mempelajari muzik di luar negara telah membawa pulang pengetahuan baharu kepada industri muzik tempatan, termasuk kepakaran dalam perkembangan kord, teori muzik dan gubahan muzik.

Menurut beliau, kerjasama muzik antara Malaysia dan AS membuktikan bahawa muzik mampu terus memupuk persahabatan antara negara.

Video berkenaan boleh ditonton di laman Facebook Kedutaan AS di Kuala Lumpur di https://www.facebook.com/watch/?v=883522464254289.

-- BERNAMA