04/07/2026 07:29 PM

Kempen Secara Harmoni, Elak Sabotaj Lawan - Teo

KULAI, 4 Julai (Bernama) -- Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching menyeru semua pihak agar berkempen secara harmoni susulan insiden vandalisme terhadap bahan kempen Pakatan Harapan (PH) yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. 

Timbalan Menteri Komunikasi itu menzahirkan kekesalan terhadap sabotaj politik berkenaan yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku, meskipun beliau mengakui momentum kempen kini semakin memuncak dengan penerimaan positif daripada pengundi.

“Perkara ini berlaku termasuk di bawah Parlimen Kulai melibatkan khemah dan bahan kempen calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, malah turut dilaporkan di DUN Mengkibol, Kluang dan beberapa kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Muzikal “Kalapadam” MINNALfm dan Karnival Kempen Internet Selamat di sini, hari ini.

Teo turut berharap agar semua jentera parti dapat mengekalkan suasana kempen yang aman dan berhemah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat politik matang dipraktikkan.

Semalam, calon PH bagi DUN Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani mendakwa bahan kempen miliknya ditutup menggunakan gegantung calon pihak lawan di Bandar Putra.

Sebelum ini, polis juga membuka kertas siasatan susulan menerima laporan berhubung kejadian merosakkan bendera dan papan gambar calon PH dalam kawasan DUN Mengkibol.

Di sebalik provokasi tersebut, Teo menyatakan keyakinan pengundi Johor akan terus memberi sokongan kepada DAP berdasarkan rekod perkhidmatan parti itu.

Beliau berkata DAP serta PH mempunyai rekod prestasi yang kukuh termasuk mempertaruhkan lapan calon wanita daripada keseluruhan 17 calon yang ditampilkan pada PRN kali ini.

“Paling penting ialah rekod kami menunjukkan kemampuan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab, sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan Persekutuan, tanpa mengira kaum,” katanya.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA