04/07/2026 07:26 PM

Kyrgyzstan Lancar SFIT Tamchy, Gerbang Perniagaan Malaysia Ke Pasaran Eurasia

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kyrgyzstan melancarkan Wilayah Pelaburan Kewangan Khas (SFIT) Tamchy, sebuah kawasan di tengah-tengah Eurasia yang bertujuan menarik pelabur antarabangsa, institusi kewangan dan syarikat teknologi yang mencari gerbang dipercayai ke pasaran wilayah berkenaan.

Majlis Pengurusan SFIT Tamchy dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedudukan strategiknya di persimpangan koridor perdagangan dan kewangan utama Eurasia boleh berfungsi sebagai hab transit dan pelaburan penting yang menghubungkan pasaran ASEAN dengan ekonomi Asia Tengah, Asia Barat dan Eropah dalam rangka kerja baharu rantaian bekalan global yang sedang berkembang.

“Bagi syarikat Malaysia, wilayah pelaburan kewangan baharu ini menawarkan platform operasi serba lengkap yang membolehkan mereka memperluas kehadiran dalam pasaran Eurasia yang sedang berkembang pesat.

“Mereka akan mendapat akses kepada infrastruktur perniagaan dan kediaman berskala besar yang dibangunkan di kawasan seluas 6,000 hektar di pesisir Tasik Issyk-Kul yang indah,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa sebuah lapangan terbang antarabangsa dan pusat logistik moden terletak dalam jarak yang dekat.

Syarikat dari Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, Switzerland dan Kazakhstan adalah antara yang awal berada di kawasan berkenaan.

Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov pada majlis pelancaran itu pada Jumaat berkata perubahan dalam ekonomi global memacu permintaan terhadap pusat aktiviti perniagaan baharu, yang menyaksikan piawaian antarabangsa disokong oleh kebebasan inovasi sebenar dan pelaburan jangka panjang.

“Kyrgyzstan bersedia untuk menjadi satu daripada tempat berkenaan. Kami memanfaatkan amalan terbaik global untuk membina pusat kewangan ini dari awal – lengkap dengan mahkamah bebas, pengawal selia moden serta peraturan yang tidak akan berubah mengikut perlaihan trend,” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Pengurusan SFIT Tamchy, Ali Ijaz Ahmad berkata kawasan itu dibina dengan memahami keperluan modal dan perniagaan antarabangsa.

“SFIT Tamchy menawarkan platform yang dipercayai, fleksibel dan sedia untuk pelabur bagi perniagaan yang mencari pertumbuhan mampan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kawasan itu beroperasi berdasarkan undang-undang Inggeris, sebuah sistem yang telus mengikut sejarah dan biasa bagi sektor korporat Malaysia, manakala perlindungan undang-undang dan kestabilan tahap tinggi dijamin oleh mahkamah bebas, Pusat Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa serta pengawal selia kewangan khusus.

Syarikat yang beroperasi di Tamchy juga bakal menikmati pelbagai kelebihan termasuk hak pemilikan penuh syarikat oleh warga asing, rejim cukai sifar selama 49 tahun, selain kitaran aset maya secara sah dan bebas yang dijamin oleh undang-undang kawasan berkenaan.

Tamchy turut menawarkan pilihan untuk pesertanya menjalankan perniagaan secara dalam talian sepenuhnya, membolehkan pelabur beroperasi menerusi sistem pusat sehenti tanpa perlu berada secara fizikal di negara berkenaan.

Majlis itu menyatakan bahawa penunjuk makroekonomi Kyrgyzstan yang kukuh mengukuhkan lagi daya tarikan SFIT Tamchy, dengan negara itu mencatatkan satu daripada kadar pertumbuhan tertinggi di rantau berkenaan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kyrgyzstan melonjak daripada US$8 bilion pada 2020 kepada lebih US$22 bilion pada 2025, dengan kadar pertumbuhan melebihi 11 peratus dicatatkan pada 2025.

-- BERNAMA