"Pekerur" Kembali Warnai Irau Aco Lun Bawang
Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin
LAWAS, 4 Julai (Bernama) -- Selepas lebih sedekad menyepi daripada sambutan Irau Aco Lun Bawang (IALB), acara pekerur atau perbarisan kembali mewarnai pesta kebudayaan yang disambut masyarakat Lun Bawang, hari ini.
Seawal 8 pagi, ratusan peserta daripada 31 kontinjen berarak sepanjang satu kilometer dari Hotel Seri Malaysia Lawas ke Taman Awam Lawas dengan mengenakan pakaian tradisional masyarakat Lun Bawang, termasuk kuyu talun atau baju yang diperbuat daripada kulit kayu, selain pelbagai aksesori manik dan perhiasan warisan yang mencerminkan identiti unik etnik berkenaan.
Bagi masyarakat Lun Bawang, Irau Aco yang secara harfiahnya bermaksud "pesta" bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi turut menjadi medan memperkukuh hubungan kekeluargaan, memelihara adat resam serta memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda dan masyarakat luar. Memasuki edisi ke-39 tahun ini, festival itu terus menjadi antara acara kebudayaan etnik terbesar di utara Sarawak.
Di sebalik kemeriahan perarakan itu, terselit kisah Langub Pengiran, warga emas berusia 72 tahun yang gigih melatih kanak-kanak dan remaja di kampungnya agar seni muzik tradisional Lun Bawang, yang alatnya diperbuat daripada buluh, tidak hilang ditelan zaman.
“Kita tubuhkan kumpulan ini untuk melatih pewaris budaya Lun Bawang sejak mereka sekolah rendah lagi kerana mereka inilah bakal penerus budaya ini nanti. Apabila orang-orang tua sudah tiada, merekalah yang akan meneruskan warisan," kata ketua kontinjen Persatuan Generasi Penerus dari Kampung Long Tuma itu kepada Bernama.
Beliau berkata pelajarnya bukan sahaja diajar memainkan alat muzik tradisional buluh atau lebih dikenali sebagai bamboo band, malah turut mempelajari cara menghasilkan alat muzik berkenaan daripada tumbuhan itu yang diperoleh dari hutan sehingga dapat menghasilkan bunyi yang tepat.
“Bukan sekadar bermain muzik, mereka perlu tahu cara membuat alat muzik itu sendiri. Mereka belajar daripada mengambil buluh di hutan, membuat alat muzik sehinggalah menghasilkan bunyi. Itulah yang kami mahu wariskan kepada generasi muda,” katanya yang telah berkecimpung dalam seni muzik tradisional Lun Bawang sejak berusia 25 tahun.
Langub berkata kebanyakan peserta dalam kontinjennya terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah seawal usia lapan tahun yang dilatih secara berterusan di kampung bagi memastikan seni muzik tradisional itu tidak pupus.
Sementara itu, ketua kontinjen Kampung Long Sebangang Lama, Loser Sakai, 57, berkata penyertaan kampungnya dalam pekerur tahun ini amat bermakna kerana menjadi penampilan sulung mereka dalam acara berkenaan.
Beliau berkata festival seperti IALB memainkan peranan penting dalam memperkenalkan budaya, adat dan bahasa Lun Bawang kepada generasi muda yang semakin terdedah kepada pengaruh luar.
“Ramai anak muda sekarang tidak lagi begitu fasih berbahasa Lun Bawang. Sebab itu acara seperti ini penting kerana menjadi platform memperkenalkan semula budaya dan identiti kita kepada generasi akan datang supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Masyarakat Lun Bawang merupakan antara etnik Orang Ulu di Sarawak dengan populasi dianggarkan 30,000 orang dan kebanyakannya menetap di kawasan utara negeri ini, khususnya Lawas dan Limbang. Di Sabah, Brunei dan Indonesia, komuniti itu turut dikenali sebagai Lun Dayeh atau Lun Dayah.
Pengerusi Penganjur IALB ke-39 Racha Mulong berkata penganjuran tahun ini memberikan penekanan khusus kepada aktiviti yang menonjolkan budaya dan tradisi masyarakat Lun Bawang, termasuk menghidupkan semula pekerur yang sudah lama tidak dipertandingkan.
“Tahun ini kita bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada wakil rakyat tempatan, iaitu Datuk Henry Sum Agong (Ahli Parlimen Lawas) dan Baru Bian (Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan) untuk menganjurkan aktiviti utama di IALB,” katanya.
Beliau berkata selain pekerur, penganjur turut memperkenalkan beberapa aktiviti utama lain yang berteraskan budaya termasuk akan pemung atau makan bersama, selaras dengan tema tahun ini, "Pitarin Ayu' Pupu, Tueh Anak Inul" yang bermaksud "Memelihara Tradisi, Menginspirasikan Generasi".
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung
- Program Ziarah Kasih Buka Peluang Usahawan OKU Teroka Pemasaran Digital