Polis Buru Pelajar Terbabit Kes Pukul Remaja Di Tawau
TAWAU, 4 Julai (Bernama) -- Polis sedang mengesan sekumpulan pelajar sekolah yang dipercayai memukul seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di Jalan Sri Delima, Merotai Besar, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Wilynton Enchana Watt berkata kejadian berlaku pada 12 tengah hari ketika mangsa bersama-sama tiga rakannya dalam perjalanan ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat sebelum dihampiri sekumpulan pelajar sekolah yang dikenalinya.
"Difahamkan, kumpulan pelajar ini bertanyakan tentang keberadaan dua individu, kemudian seorang daripadanya memukul mangsa dan beberapa lagi pelajar daripada kumpulan itu turut memukul mangsa.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian muka, kepala, dada dan rusuk sebelum membuat laporan polis pada 8.09 malam dan dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut, tiga rakan mangsa turut dipukul," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Chong Fung Mee menerusi talian 013-8840013 atau hadir ke balai polis berdekatan," katanya.
Wilynton berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk keganasan atau perbuatan samseng, khususnya melibatkan pelajar sekolah, dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang menjejaskan siasatan polis.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung
- Program Ziarah Kasih Buka Peluang Usahawan OKU Teroka Pemasaran Digital