Sundang Lambang Ketamadunan Dan Jati Diri Melayu
PASIR PUTEH, 4 Julai (Bernama) -- Sundang bukan sekadar senjata tradisional yang pernah digunakan di medan perang, sebaliknya menjadi lambang ketamadunan, kebijaksanaan serta jati diri orang Melayu yang memiliki kepakaran tinggi dalam seni pertukangan logam sejak ratusan tahun dahulu.
Pengurus Bahagian Antikuiti Yayasan Al-Amin, Muhammad Hasnansyah Halimsyah berkata sundang adalah antara warisan persenjataan Melayu yang semakin kurang dikenali masyarakat walaupun mempunyai sejarah panjang dan keunikan tersendiri dalam tamadun Nusantara.
Beliau berkata bagi memperkenalkan semula khazanah itu kepada masyarakat, pihaknya membawa 16 bilah sundang daripada lebih 200 koleksi persenjataan Melayu milik yayasan berkenaan untuk dipamerkan pada Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini.
“Ramai orang tahu tentang keris, tetapi apabila ditanya mengenai sundang, kebanyakannya tidak mengenalinya sedangkan senjata ini adalah antara yang terpenting bagi orang Melayu sejak ratusan tahun dahulu.
“Sundang sebenarnya boleh dianggap sebagai keris bersaiz besar dan panjang seperti pedang, namun masih mengekalkan ciri-ciri utama keris termasuk bilah bermata dua serta bentuk hulu dan sarung yang tersendiri,” katanya kepada Bernama hari ini.
Muhammad Hasnansyah berkata sundang dikategorikan dalam keluarga pedang Melayu dan lazimnya digunakan oleh golongan pahlawan, panglima serta nakhoda kapal, manakala masyarakat biasa atau golongan adat lebih sinonim menggunakan keris.
Beliau berkata berdasarkan kajian yayasan itu, sundang mempunyai identiti mengikut wilayah termasuk Sundang Terengganu, Sundang Pahang, Sundang Kelantan dan Sundang Patani (Thailand), selain turut berkembang dalam masyarakat Melayu di Kepulauan Sulu dan Moro.
Katanya, walaupun koleksi yang dipamerkan merupakan artifak lama berusia ratusan tahun, pembuatan sundang baharu masih diteruskan oleh pandai besi tempatan di beberapa negeri termasuk Kelantan yang masih mempunyai penghasil persenjataan tradisional.
Muhammad Hasnansyah berkata kajian terhadap artifak itu membuktikan kehebatan teknologi orang Melayu terdahulu apabila bilah sundang dihasilkan melalui gabungan beberapa jenis logam menggunakan teknik tempaan yang sangat maju meskipun tanpa teknologi kimpalan moden.
Beliau berkata analisis makmal turut menemukan penggunaan logam seperti perak, emas dan tembaga pada sebahagian persenjataan Melayu, sekali gus membuktikan masyarakat Melayu ketika itu memiliki pengetahuan tinggi dalam bidang metalurgi dan kejuruteraan.
“Kehalusan tempaan, falsafah pada bentuk bilah serta gabungan logam menunjukkan orang Melayu dahulu bukan sekadar pahlawan, malah memiliki ilmu sains, matematik dan kejuruteraan yang tinggi.
“Persepsi negatif terhadap keris dan sundang juga perlu diperbetul kerana penjagaan artifak seperti membersihkan bilah menggunakan limau nipis serta proses pengeringan hanyalah amalan penyelenggaraan logam bagi mengelakkan karat, bukannya amalan mistik seperti yang sering disalah tafsir,” katanya.
Beliau berkata pemeliharaan persenjataan tradisional penting bagi memastikan generasi muda terus mengenali identiti bangsa dan memahami bahawa sundang bukan sekadar senjata, sebaliknya sebahagian daripada sejarah, ketamadunan dan jati diri orang Melayu.
“Menerusi pameran senjata ini, pihak yayasan berharap masyarakat dapat mengenali semula sundang yang selama ini tenggelam di sebalik populariti keris, walaupun kedua-duanya adalah antara warisan persenjataan asli alam Melayu yang masih dipelihara hingga kini,” katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung
- Program Ziarah Kasih Buka Peluang Usahawan OKU Teroka Pemasaran Digital