04/07/2026 06:13 PM

Jabatan Perikanan Perlu 30 Hari Nilai Dokumen Dikemukakan Thailand

KOTA BHARU, 4 Julai (Bernama) -- Jabatan Perikanan memerlukan sekurang-kurangnya 30 hari untuk menilai dokumen yang dikemukakan oleh pihak berkuasa Thailand berhubung sekatan pengeluaran permit import (IP) bagi lima spesies udang dari negara itu, sekiranya maklumat yang diterima lengkap.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata penilaian berkenaan sedang dilaksanakan oleh pasukan teknikal yang ditubuhkan pada peringkat jabatan bagi meneliti maklumat dikemukakan oleh Thailand di bawah fasa kedua.

Beliau berkata mesyuarat pasukan teknikal dijangka diadakan minggu depan, sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung permohonan negara itu untuk mengeksport semula udang ke Malaysia.

“Selepas proses penilaian selesai, barulah kita memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh mengenai maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa Thailand,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival MyAgropreneur Perikanan dan MyKomuniti Perikanan Zon Timur 2026, di sini hari ini.

Malaysia masih mengekalkan sekatan pengeluaran IP bagi lima spesies udang dari Thailand, yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lepas.

Adnan berkata sekatan itu juga bertujuan memastikan udang yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada penyakit yang boleh mengancam industri akuakultur tempatan, selain tidak mengandungi bahan kimia terlarang yang bercanggah dengan peraturan sedia ada.

Beliau berkata Malaysia turut berdepan isu timbal balik apabila eksport udang tempatan ke Thailand masih belum dibenarkan sejak 2017.

“Sehubungan dengan itu, Jabatan Perikanan sedang memperkemas sistem kawalan kesihatan haiwan akuatik dan pematuhan standard biosekuriti negara bagi memastikan udang tempatan memenuhi keperluan pasaran Thailand, termasuk bebas daripada penyakit serta penggunaan bahan kimia terlarang,” katanya.

Pada 16 Mei lepas, KPKM mengumumkan penguatkuasaan keperluan Sijil Analisis (Certificate of Analysis atau CoA) bagi import ikan siakap dari Thailand serta sekatan sementara terhadap import lima spesies udang dari negara itu yang berkuat kuasa mulai 1 Jun.

Sementara itu, Jabatan Perikanan memberikan amaran bahawa lesen bot penangkapan ikan tempatan boleh dibatalkan jika pemilik atau pengusahanya didapati terbabit dalam kegiatan penyeludupan diesel.

Adnan berkata syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 melarang bot penangkapan ikan digunakan bagi aktiviti penyeludupan minyak, termasuk bot yang diubah suai dengan pemasangan tangki simpanan atau struktur tambahan untuk tujuan itu.

“Jika didapati melanggar syarat lesen, tindakan boleh diambil di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk pembatalan lesen. Jabatan juga akan menilai semula status lesen sekiranya pemilik bot disabitkan kesalahan di bawah undang-undang lain,” katanya.

Beliau berkata pindaan Akta Perikanan 1985 turut melarang bot penangkapan ikan memunggah atau memindahkan bekalan termasuk bahan api di tengah laut, dan ia satu kesalahan di bawah akta berkenaan.

Jabatan Perikanan akan terus bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi membanteras penyeludupan minyak, selain mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai.

-- BERNAMA