04/07/2026 05:13 PM

SKM, KUSKOP Diminta Percepat Kelulusan Dana Koperasi

BUTTERWORTH, 4 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diminta mempercepat proses kelulusan permohonan dana koperasi, dengan sasaran permohonan yang memenuhi syarat dapat diluluskan dalam tempoh seminggu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata langkah itu penting bagi memastikan peruntukan yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan segera oleh koperasi untuk mengembangkan perniagaan dan memperkukuh sumbangan sektor tersebut kepada ekonomi negara.

“Saya minta SKM dan KUSKOP apabila orang sudah buat permohonan, jangan tunggu (sehingga) berbulan-bulan dan jangan tunggu berminggu-minggu. 

“Kalau boleh, dalam masa satu minggu, kita bagi kelulusan permohonan yang diminta koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di PICCA @ Butterworth Arena, di sini hari ini. 

Hadir sama Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Sim berkata permohonan yang memenuhi syarat serta mempunyai dokumen lengkap tidak seharusnya dilengah-lengahkan kerana penyaluran dana yang pantas akan membolehkan lebih banyak koperasi memperluas operasi masing-masing.

Beliau berkata KUSKOP melalui SKM memperuntukkan RM254 juta kepada gerakan koperasi tahun ini, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah setakat ini, dengan RM53 juta telah diluluskan kepada beberapa koperasi di seluruh negara.

Sim turut menggesa koperasi lebih aktif memohon dana yang disediakan kerana peruntukan itu diwujudkan untuk dimanfaatkan bagi memperkasakan sektor berkenaan dan bukan untuk disimpan.

Berhubung perkembangan gerakan koperasi, beliau berkata sehingga hujung tahun lepas, Malaysia mempunyai lebih 16,000 koperasi berdaftar dengan hampir 7.3 juta anggota.

Modal syer gerakan koperasi, menurut beliau kini menghampiri RM20 bilion manakala nilai aset mencecah hampir RM200 bilion, sekali gus membuktikan kekuatan sektor itu sebagai antara pemacu ekonomi negara.

Selain itu, Sim berkata perolehan perniagaan koperasi meningkat hampir 20 peratus daripada RM68 bilion pada 2024 kepada lebih RM82 bilion pada tahun lepas, meletakkannya pada landasan kukuh untuk melepasi sasaran RM100 bilion menjelang 2030.

Beliau berkata menerusi program Power Up 10,000, hampir 140 koperasi mikro berjaya berkembang menjadi koperasi kecil, manakala 33 koperasi kecil meningkat kepada koperasi besar dan 16 koperasi sederhana beralih kepada kategori koperasi kluster besar.

Pada majlis itu, Sim turut mengumumkan dua lagi koperasi berjaya memasuki kategori koperasi premier tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan koperasi premier di negara ini kepada tujuh berbanding lima pada tahun lepas.

Sambutan Hari Koperasi Negara 2026 selama tiga hari bermula semalam, menghimpunkan gerakan koperasi, agensi kerajaan dan pemain industri bagi mempromosikan peranan koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi negara.

-- BERNAMA