04/07/2026 07:07 PM

Kapal Induk Pesawat Udara Charles De Gaulle Kembali Ke Perancis Dari Asia Barat

ISTANBUL, 4 Julai (Bernama-Anadolu) -- Kapal induk pesawat udara Perancis Charles de Gaulle, akan kembali ke pelabuhan Toulon, yang menjadi pangkalan kapal itu susulan perkembangan "positif" antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, umum Presiden Emmanuel Macron pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kapal induk pesawat udara Charles de Gaulle akan kembali ke Toulon, yang menjadi pangkalannya, manakala aset tindakan balas ranjau laut kami bersama kapal pengiring akan terus ditempatkan dan bersedia untuk beroperasi bersama rakan kongsi kami," kata Macron menerusi platform media sosial X.

Beliau berkata Perancis telah mengerahkan aset tindakan balas ranjau laut ke Asia Barat, termasuk dua kapal pemburu ranjau.

"Diiringi dua kapal frigat dan sebuah pesawat rondaan maritim, aset-aset ini kekal bersedia membantu, bersama rakan kongsi kami, memulihkan sepenuhnya kebebasan pelayaran serta memastikan keselamatan perkapalan melalui Selat Hormuz," katanya.

Beliau menekankan bahawa pemeteraian perjanjian rangka kerja antara AS dan Iran pada bulan lalu merupakan satu langkah penting ke arah kestabilan serantau.

Macron turut mengulangi semula komitmen penuh Perancis untuk menyesuaikan kedudukan ketenteraannya selaras dengan perkembangan semasa di lapangan serta keperluan keselamatan serantau.

-- BERNAMA-ANADOLU