Polis Tahan 3 Lelaki Indonesia Disyaki Seludup Lebih 70,000 Kotak Minuman Keras
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Tiga lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 35 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis di Kuching semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak berkastam di Sarawak.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata turut dirampas dalam serbuan Ops Taring Alpha 2 itu ialah sejumlah 76,367 kotak minuman keras jenama 1602 Life Beer Smooth Lager.
Beliau berkata serbuan pada 2.15 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan serta Majlis Perbandaran Padawan.
"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian telah membawa kepada rampasan melibatkan minuman keras berjenama 1602 Life Beer yang disimpan di dalam premis serta di tiga kontena, turut dirampas dua forklift jenis Toyota beserta kunci," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki apa-apa barang tidak bercukai atau barang larangan dilindungi.
Beliau berkata operasi itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barangan tidak berkastam.
"Tindakan undang-undang ini bukan sahaja bagi mengekang ketirisan hasil negara malah ia berpotensi menjadi pemangkin kepada jenayah rentas sempadan serta mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.
Mohd Yusri berkata PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok serta minuman keras, penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi selain sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang menjejaskan kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut memaklumkan bahawa bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 199 serbuan di seluruh negara dan berjaya menahan 374 individu atas pelbagai kesalahan.
Mohd Yusri berkata ia melibatkan kes penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-sisa dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM258,518,030.51.
"PDRM akan terus memperhebat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah terancang dengan lebih berkesan," katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Ibu Dua Kanak-kanak Keluar Kepala Melalui "Sunroof" Ditahan
- Pembangunan Perlu Seimbang Di Johor - Anwar
- Polis Tahan 3 Lelaki Indonesia Disyaki Seludup Lebih 70,000 Kotak Minuman Keras
- Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Pan Borneo
- FKRK 2026 : Kelantan Terus Pelihara Warisan Seni Budaya Selari Tuntutan Syariat Islam