Pertandingan Khemah FKRK Jadi Platform Promosi Pelancongan Daerah
PASIR PUTEH, 4 Julai (Bernama) -- Pertandingan Khemah Pelancongan Daerah yang diadakan bersempena dengan Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 menjadi platform berkesan dalam mengetengahkan keunikan, identiti dan produk pelancongan setiap daerah di negeri ini menerusi konsep pameran kreatif berteraskan seni budaya serta warisan tempatan.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan Rohaniza Abdullah berkata penyertaan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya menghidupkan suasana festival apabila setiap khemah menampilkan konsep tersendiri berasaskan tema "Pelancongan, Seni Budaya dan Warisan".
Rohaniza yang juga panel juri pertandingan berkata setiap peserta bukan sekadar menghias ruang pameran, sebaliknya menterjemahkan keunikan daerah masing-masing melalui pelbagai elemen budaya seperti batik, songket, wau bulan, ukiran kayu, anyaman, makanan tradisional serta tarikan setempat.
“Setiap khemah mempunyai kekuatan tersendiri dan memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung. Ada yang mengetengahkan konsep kampung tradisional, manakala ada yang mempamerkan produk pelancongan serta hasil kraf tangan daerah masing-masing secara kreatif,” katanya kepada Bernama pada FKRK 2026 di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini hari ini
Beliau berkata pemenang bagi pertandingan khemah itu akan diumumkan malam ini dengan hadiah ditawarkan ialah wang tunai sebanyak RM3,000 bagi tempat pertama, RM2,000 (tempat kedua), RM1,000 (tempat ketiga), RM750 (tempat keempat) dan RM500 (tempat kelima).
Rohaniza berkata kreativiti peserta dinilai berdasarkan keupayaan mereka mengolah tema supaya bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, malah mampu menyampaikan maklumat tentang potensi setiap daerah secara berkesan.
Beliau berkata pertandingan yang diselaraskan bersama-sama Pusat Penerangan Pelancongan (Tourism Kelantan) itu bukan sahaja memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga PBT, tetapi juga memperkukuh usaha mempromosikan warisan budaya dan tarikan negeri kepada pengunjung tempatan serta luar.
Rohaniza berkata inisiatif itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan kerana setiap khemah berpotensi menjadi ruang pameran mini yang memperkenalkan keistimewaan setiap daerah, sekali gus mendorong orang ramai meneroka lebih banyak destinasi di Kelantan.
Sementara itu, Penolong Jurutera Majlis Daerah Gua Musang Muhammad Aliff Izaikie Mohd Lazim, yang mengetuai pasukan sembilan ahli, berkata pihaknya memberikan penekanan kepada konsep kampung tradisional yang menampilkan warisan dan kehidupan masyarakat di daerah berkenaan.
“Kami menggunakan pelbagai elemen seperti peralatan tradisional, pelita dan suasana kampung bagi menggambarkan identiti Gua Musang mengikut tema pertandingan. Penggunaan barangan terpakai dan bahan sedia ada membuktikan dekorasi menarik mampu dihasilkan tanpa memerlukan perbelanjaan besar, selain menjadi peluang memperkenalkan keunikan Gua Musang kepada pengunjung festival,” katanya.
FKRK 2026 yang berlangsung selama empat hari dan berakhir hari ini ialah acara tahunan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta JKKN Kelantan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Ibu Bapa Diingatkan Agar Berhati-Hati Berkongsi Gambar Anak Susulan Ancaman ‘Sebenar’ AI
- Aksi Dramatik Saat Akhir Warnai Pusingan 32 Terbaik Piala Dunia FIFA
- Piala Dunia: Presiden Paraguay Percaya Tahyul, Jurulatih Sifatkan Perancis Sebagai "Ribut Petir"
- KLDEX Dibuka Untuk Kongsi Kisah Durian Malaysia Dengan Dunia
- Peru Isytihar Keiko Fujimori Sebagai Presiden 2026-2031