04/07/2026 04:54 PM

Kampung Istana Berpotensi Jadi Destinasi Ekopelancongan, Perkasa Ekonomi Digital Penduduk - Fahmi

BATU PAHAT, 4 Julai (Bernama) -- Kampung Istana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Penggaram berpotensi dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan dengan sokongan latihan pemasaran digital kepada usahawan tempatan serta capaian Internet yang lebih baik bagi menjana ekonomi penduduk.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata lokasi kampung itu yang strategik antaranya terletak berhampiran pusat rekreasi popular seperti Bukit Banang dan Bukit Soga menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sektor berkenaan.

"Dimaklumkan potensi ekopelancongan di sini sangat tinggi. Saya akan cuba bincang dengan pihak Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terdekat, sekiranya boleh jemput beberapa usahawan dari kampung ini untuk mempelajari teknik-teknik promosi bagi meningkatkan ekopelancongan," katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra bersama penduduk Kampung Istana di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Penggaram Felicia Poh Rui Ling.

Fahmi berkata pengukuhan rangkaian Internet di kawasan itu bukan sahaja menyokong sektor pelancongan, tetapi juga membolehkan golongan muda memanfaatkan ekonomi digital sepenuhnya tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.

"Saya juga melihat sama ada wujud peluang untuk membolehkan anak-anak muda yang berada di perantauan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian Internet yang lebih baik supaya mereka dapat meningkatkan ekonomi setempat tanpa perlu meninggalkan Kampung Istana," katanya.

Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan kepada Abdul Halim atas pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Istana dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Johor.

Fahmi berkata beberapa kemudahan awam termasuk balai raya telah dinaik taraf, selain kementerian turut menyumbangkan pelbagai peralatan bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan dan gotong-royong penduduk.

"Saya berharap kemudahan dan peralatan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk serta membantu memastikan Kampung Istana terus kekal bersih, indah dan berdaya maju," katanya.

-- BERNAMA