HKN 2026 Perkasa Peranan Koperasi, Sasar 40,000 Pengunjung
BUTTERWORTH, 4 Julai (Bernama) -- Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2026 menjadi platform mengiktiraf sumbangan gerakan koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negara selain memperkukuh jaringan perniagaan antara koperasi, usahawan, pemain industri serta agensi kerajaan dan swasta.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata sambutan tiga hari yang berakhir esok, mendapat sambutan memberangsangkan menerusi kehadiran kira-kira 6,000 pengunjung pada hari pertama semalam.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan kehadiran keseluruhan antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung.
Bertemakan “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI”, beliau berkata HKN 2026 turut memberi penekanan kepada usaha memperkasakan koperasi belia dan koperasi wanita selain menyokong agenda kerajaan dalam aspek keterjaminan makanan, pelancongan dan pendigitalan.
“Objektif utama kita adalah untuk mengiktiraf peranan koperasi sebagai penyumbang berkesan kepada pembangunan sosioekonomi serta memperkukuh jaringan perniagaan antara koperasi, usahawan, pemain industri, agensi kerajaan dan swasta,” katanya.
Ahmad Norihan berkata demikian pada majlis perasmian HKN 2026 yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong di PICCA @ Butterworth Arena, di sini hari ini.
Beliau berkata sambutan kali ini menghimpunkan 186 pempamer termasuk reruai khas koperasi pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) bagi menyokong usaha merancakkan industri pelancongan tempatan.
Selain itu, sambutan antara lain melibatkan penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam, fun walk, zumba, pertandingan sukan rakyat, cabutan bertuah, malam kebudayaan, Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU), Festival Laksa serta jualan trak makanan.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah HKN 2026, menurut beliau dibuat bagi membawa sambutan itu ke utara Semenanjung selepas penganjuran di Melaka pada tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan.
“Ini kali pertama HKN diadakan di Pulau Pinang sejak penubuhan SKM pada 2008,” katanya.
Beliau berkata pemilihan Pulau Pinang juga bertujuan mengiktiraf sejarah penubuhan bank koperasi pertama negara, iaitu Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Bhd pada 7 Jun 1950 di negeri itu.
Sementara itu, Ahmad Norihan menyambut baik langkah kerajaan menggubal Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 yang dilihat mampu memperkukuh tadbir urus serta pembangunan gerakan koperasi di negara ini.
Beliau berkata cadangan penggubalan akta itu telah melalui beberapa siri sesi percambahan fikiran dan penelitian, namun masih memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan kerana melibatkan penyelarasan antara Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665) dan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
Beliau berkata penambahbaikan itu penting untuk mengimbangi peranan SKM sebagai badan pengawal selia dan penguat kuasa selain terus berfungsi sebagai pemudah cara dalam membangunkan gerakan koperasi.
“Kita berharap dalam masa terdekat, mungkin pada tahun depan, penambahbaikan itu dapat dilaksanakan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Terdahulu, turut berlangsung pada majlis itu ialah peluncuran Profil 100 Koperasi Terbaik 2026 selain Anugerah Koperasi 2026, penyampaian cek cura Bantuan Pembangunan Perniagaan Koperasi serta Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung
- Program Ziarah Kasih Buka Peluang Usahawan OKU Teroka Pemasaran Digital