04/07/2026 06:49 PM

Hospital Aurelius Perkenal Teknologi Radioterapi TrueBeam Pertama Di Negeri Sembilan

Oleh Nursyabiha Sukri

NILAI, 4 Julai (Bernama) -- Hospital Aurelius Negeri Sembilan terus memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatannya dengan menjadi hospital swasta pertama di Negeri Sembilan yang menawarkan sistem radioterapi TrueBeam™ Linear Accelerator (LINAC) bagi rawatan kanser.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Aurelius Negeri Sembilan Joanna Tighe berkata teknologi itu direka untuk menyasarkan sel kanser dengan ketepatan tinggi serta meminimumkan pendedahan radiasi kepada tisu sihat di sekelilingnya, sekali gus meningkatkan keberkesanan rawatan, keselesaan pesakit dan hasil klinikal yang lebih baik.

Beliau berkata perkembangan itu turut melengkapkan pengukuhan Pusat Onkologi Aurelius yang kini menawarkan rangkaian perkhidmatan rawatan kanser yang lebih menyeluruh.

“Pusat Onkologi diperkasakan dengan teknologi TrueBeam™ Linear Accelerator membuktikan komitmen berterusan dalam membawa teknologi moden lebih dekat kepada rakyat di negeri ini dan negeri jiran seperti Selangor,” katanya kepada Bernama semasa ditemui pada Hari Terbuka Hospital Aurelius 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata pengenalan teknologi radioterapi berketepatan tinggi itu membolehkan pesakit menerima rawatan bertaraf dunia tanpa perlu ke luar negeri, sekali gus meningkatkan akses kepada rawatan onkologi yang lebih komprehensif dan moden.

Selain itu, beliau berkata hospital tersebut mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 140 katil, sebuah pusat pesakit luar baharu serta tambahan bilik rundingan pakar.

Joanna berkata melalui Hari Terbuka Aurelius 2026, pihaknya dapat memperkukuh hubungan dengan komuniti dan rakan strategik selain memperkenalkan pelbagai kemudahan yang ditawarkan serta rangkaian perkhidmatan kepakaran di hospital berkenaan.

Beliau berkata program itu mencerminkan komitmen hospital dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses serta memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman mendapatkan rawatan dalam suasana mesra, moden dan sesuai untuk seisi keluarga.

“Pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya saringan kesihatan percuma, ceramah kesihatan oleh pakar, program Tiny Doc untuk kanak-kanak, kempen derma darah, pameran kesihatan serta aktiviti interaktif bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat,” katanya.

Program itu juga melibatkan Bahagian Rehabilitasi, Dietetik, Farmasi, Pendidikan Kejururawatan, Pemasaran dan Komunikasi serta Aurelius Medcare.

-- BERNAMA