Tiram Putih Sungai Muar Khazanah Ekosistem Punyai Keunikan Tersendiri
Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
MUAR, 4 Julai (Bernama) -- Seawal 7.30 pagi di Jeti Parit Tiram, arus Sungai Muar yang kehijauan seolah-olah tidak menjanjikan apa-apa. Namun, di lubuk kelam itulah bermulanya pemburuan khazanah gastronomi yang tersembunyi jauh di dasarnya.
Titisan hujan yang tiba-tiba mencurah membasahi lantai dek tatkala enjin bot berderu perlahan membelah hening pagi, hanya menguatkan lagi keinginan penulis untuk melihat sendiri cabaran dalam pencarian itu.
Pada pandangan mata kasar, muara sungai ini hanyalah hamparan air selut yang membosankan namun di sebalik kegelapan dasarnya, ia menyimpan tiram putih atau nama saintifiknya Crassostrea (Magallana) saidii.
Dengan panduan Ketua Kampung Parit Tiram, Mohammad Daniel Azahari, 33, yang mesra disapa sebagai Tok Daniel oleh penduduk di sini, penulis diberitahu bagaimana tiram di sungai itu mempunyai kelasnya yang tersendiri.
“Tiram Muar ini antara tiram yang terbaik di dunia, sebab tiram putih susah nak dapat. Banyak kali orang lain cuba untuk benihkan di tempat lain tapi tak menjadi.
"Dulu sebelum saya jadi ketua kampung, saya tak pernah pun rasa tiram ni. Saya tak boleh makan, rasa mual. Tapi ada sekali saya cuba, memang sedap. Tak hanyir, fresh (segar) dan tiada aftertaste (rasa kesan) macam tiram lain,” katanya kepada Bernama.
Mohammad Daniel berkata tiram putih di sungai ini antara yang terbaik di dunia kerana faktor genetik serta kualiti ekosistem semula jadinya yang sungguh unik, malah pernah dikaji dan cuba dibiakkan di kawasan lain.
Bagaimanapun, kesemua benih tiram yang dibawa keluar dari habitat asalnya itu akhirnya gagal bertahan dan mati.
"Sebab kualiti air dekat sini, bila air pasang, air masin masuk. Bila air surut, air tawar tolak. Jadi tiram di sini hidup dalam dua air. Walaupun kita cuba benihkan benih luar untuk datang, agak susah untuk hidup. Hanya yang organik yang datang dekat sini sendiri akan terus hidup,” katanya.
Daniel berkata proses penuaian khazanah ini masih mengekalkan kaedah manual, iaitu nelayan menyelam ke dasar muara tanpa bantuan alat pernafasan atau tong oksigen, menjadikannya satu tarikan unik yang sukar ditemukan di tempat lain.
Bukan itu sahaja, keadaan geografi Sungai Muar seumpama sebuah peta “rasa” yang kompleks bagi hidangan moluska berkenaan, tiram yang membiak di beting berlainan mempunyai keunikan tersendiri.
Penduduk tempatan menamakan lubuk-lubuk rasa itu, antaranya beting Ngah Leman, beting Ngah Talib dan beting Panjang, yang setiap satunya menjanjikan profil tiram yang berbeza dari segi saiz serta tekstur isi.
Struktur mendapan selut, kelajuan arus, dan kadar kemasinan air pada setiap kawasan akhirnya memahat rasa yang eksklusif, menjadikan aktiviti menjejak tiram putih di sini seolah-olah satu aktiviti memburu rasa yang penuh misteri.
Di tengah muara Sungai Muar yang berolak kasar di bawah curahan hujan, pandangan penulis terarah kepada Zaimi Mohd Noh, 57, antara penyelam tiram veteran yang masih cekal bergelumang di dasar muara berselut ini.
Mula menyelam mencari tiram pada usia 13 tahun, pesara tentera itu mengakui kerjaya memburu tiram secara manual dalam kegelapan dasar sungai menuntut keberanian luar biasa dan motivasi diri yang amat tinggi.
"Kerja ini ada risikonya, bukan macam kerja kat darat. Sentiasa istighfar kerana kita tak tahu apa yang berlaku di bawah," kata bapa kepada lima cahaya mata itu.
Mengulas mengenai kelangsungan warisan itu, dia mengakui sukar untuk menarik penglibatan generasi muda kerana ia memerlukan minat yang mendalam dan aktiviti itu mungkin bakal ketandusan pelapis.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Young Tigers Uji Taring Di Jepun Hadapi Piala Remaja Asia 2026
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung