04/07/2026 01:37 PM

PRN Johor: Onn Abu Bakar Gariskan Enam Tekad Pacu Pembangunan DUN Senggarang

JOHOR BAHRU, 4 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar hari ini mengumumkan 'Enam Tekad Untuk Senggarang Yang Lebih Maju dan Sejahtera' sebagai manifesto bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau berkata tekad berkenaan dirangka secara komprehensif dan merupakan komitmennya bagi memastikan pembangunan Senggarang dilaksanakan secara menyeluruh meliputi aspek ekonomi, infrastruktur, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Tekad pertama, iaitu memberikan tumpuan kepada penyediaan Internet berkualiti untuk semua, dengan memperjuangkan penambahbaikan liputan telekomunikasi di kawasan taman perumahan, kampung dan kawasan luar bandar demi kemudahan pendidikan, perniagaan serta urusan harian.

"Tekad kedua pula memperkasakan keselamatan penduduk melalui penambahan dan penaiktarafan lampu jalan kampung di kawasan dikenal pasti berisiko bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, serta mengurangkan risiko kemalangan dan mencegah kejadian jenayah," katanya menerusi siaran langsung yang disiarkan menerusi platform Facebook hari ini.

Menerusi tekad ketiga yang menyentuh aspek infrastruktur, Onn berkata usaha menaik taraf jalan raya dan tebatan banjir, termasuk sistem longkang dan saliran di Senggarang akan diberi tumpuan bagi mengatasi masalah banjir kilat serta impak air pasang besar yang sering membebankan penduduk di beberapa kawasan.

Tekad keempat pula menyasarkan pemerkasaan ekonomi tempatan melalui program latihan, akses pembiayaan dan pemasaran serta peluang perniagaan baharu buat usahawan, peniaga, nelayan, petani dan pekebun bagi meningkatkan pendapatan mereka, kata  Ahli Parlimen Batu Pahat itu.

Mengenai belia dan pendidikan, Onn menerusi tekad kelima pula berhasrat memperluas peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital serta latihan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan belia berkemahiran tinggi selari dengan keperluan industri semasa.

Menerusi tekad keenam pula, beliau akan memperkasakan peranan Pusat Khidmat Rakyat agar lebih responsif, cekap serta mudah diakses dalam memastikan golongan seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal sentiasa mendapat bantuan dan tidak tercicir daripada program kebajikan kerajaan.

Onn berkata manifesto yang ditawarkan bukan sekadar janji kosong, sebaliknya komitmen tulus dan pelan tindakan menyeluruh demi kesejahteraan warga di DUN Senggarang.

Beliau berkata Senggarang mempunyai potensi ekonomi yang tinggi kerana kaya dengan hasil pertanian, perikanan serta sektor perusahaan kecil, di samping keharmonian komuniti.

Dalam pada itu, beliau juga akan terus memperjuangkan usaha menaik taraf jeti-jeti nelayan supaya diiktiraf Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), selain mempermudah proses bagi mendapatkan lesen nelayan pantai daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Mengenai hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai ini, beliau berkata peratusan keluar mengundi antara 70 hingga 75 peratus akan memberikan kelebihan dan kemenangan kepadanya di Senggarang.

Hari pengundian awal PRN Johor adalah pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

 

N24 Senggarang : 38,576 pengundi

 

1. Datuk Mohd Rashid Hasnon (PN-Bersatu)

2. Onn Abu Bakar (PH-PKR)

3. Mohd Yusla Ismail (BN-UMNO)

 

(2022: Mohd Yusla Ismail: BN-UMNO: Maj: 3,912)

-- BERNAMA