04/07/2026 01:07 PM

Mohamad Sabu Ketuai Delegasi Malaysia Beri Penghormatan Terakhir Kepada Khamenei

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi kerajaan Malaysia bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei di Grand Mosalla, Tehran.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata upacara penghormatan kepada Allahyarham akan berlangsung selama beberapa hari bermula di Tehran sebelum diteruskan ke Qom, Najaf dan Karbala sebelum jenazah dibawa ke Masjid Haram Imam Reza di Mashhad untuk dikebumikan pada 9 Julai.

Beliau berkata majlis penghormatan dan berkabung itu diadakan lebih 100 hari selepas Khamenei terkorban dalam serangan yang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Feb.

“Alhamdulillah, selesai sudah sesi penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei di Grand Mosalla sebentar tadi. Ketibaan saya turut disambut oleh Yang Dipertua Parlimen Iran (Mohammad Bagher Ghalibaf) serta Menteri Luar Iran (Abbas Araghchi),” katanya.

Mohamad turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

-- BERNAMA