'The Olive That Remembered' Didik Kanak-kanak Hargai Keamanan
Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Pengalaman menguruskan dapur komuniti buat golongan yang pernah mengharungi peperangan di kawasan pedalaman Afghanistan benar-benar meninggalkan kesan emosi yang mendalam buat wanita ini.
Melihat sendiri bagaimana sisa konflik bersenjata meruntun emosi dan jiwa mereka yang masih trauma termasuk kanak-kanak menjentik hati Norashikin Abdul Latiff untuk berbuat sesuatu sehingga lahirnya naskah yang membawa mesej keamanan bertajuk The Olive Tree That Remembered.
Buku kanak-kanak sulung hasil coretan Norashikin yang juga Pengarah Komunikasi Korporat Yayasan Restu ini membawa sudut pandang (POV) sebatang pokok zaitun yang menjadi saksi garis masa sebuah kehidupan, bermula dari detik kedamaian, saat hitam kediaman musnah dibom hinggalah penyatuan semula sebuah komuniti.
“Akibat trauma konflik yang pernah dilalui, anak-anak kecil di sana jadi ketakutan dan lari menjerit-jerit apabila nampak orang luar datang, walapun sebenarnya kita datang membawa niat baik (iaitu) nak bagi bantuan.
“Zaman peperangan telah meninggalkan kesan trauma yang terlalu mendalam buat anak-anak di sana. Apabila pulang ke tanah air, saya sedar mesej tentang pentingnya keamanan dan empati ini perlu disampaikan segera kepada generasi muda kita,” katanya kepada Bernama.
Bagi ibu kepada lima cahaya mata itu, kesedaran tentang penderitaan sesama manusia tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu dipupuk dari peringkat prasekolah agar anak-anak membesar menjadi generasi yang cintakan kedamaian.
Katanya, pendedahan berita seperti konflik, bencana, buli dan penderitaan manusia yang ditonton berulang kali dikhuatiri boleh mengurangkan tindak balas emosi anak-anak.
“Benda yang dahulunya dirasakan mengejutkan, lama-kelamaan bertukar menjadi sesuatu yang lumrah dan biasa di mata mereka. Sebab itu, medium fizikal (buku) sengaja dipilih berbanding format digital sebagai alternatif untuk 'memaksa' anak-anak berhenti seketika daripada terus menatap skrin peranti.
“Sebagai ibu bapa dan masyarakat, kita mungkin tidak mampu melindungi anak-anak daripada segala realiti dunia. Namun, kita boleh membantu mereka memahaminya dengan kebijaksanaan, empati dan belas kasihan.
“Kita perlu ajar mereka bahawa di sebalik setiap tajuk berita ada sebuah keluarga; di sebalik setiap konflik ada seorang anak kecil; dan di sebalik setiap statistik, ada nyawa manusia, ” katanya.
Norashikin berhasrat, menerusi karya itu, anak-anak dapat diajak meneroka nilai-nilai murni sejagat tanpa menyentuh soal politik seperti kebaikan, ketabahan, harapan, kedamaian dan nilai kemanusiaan bersama.
Katanya reka bentuk yang teliti termasuk aspek saiz serta psikologi warna turut membantu anak-anak fokus dan berfikir, sekali gus membuka ruang intim untuk ibu bapa duduk rapat meriba anak-anak sambil bercerita.
Beliau yang juga seorang penulis dan jurulatih berpengalaman dalam bidang pendidikan percaya bahawa sebuah cerita mempunyai kuasa besar untuk membantu kanak-kanak memahami realiti yang sukar sambil memupuk harapan dan ketabahan.
“Pendidikan bukan hanya tentang menyediakan anak-anak untuk menghadapi peperiksaan tetapi juga tentang menyediakan mereka untuk menghadapi kehidupan. Anak-anak yang belajar erti empati hari ini bakal menjadi orang dewasa yang membina keluarga yang lebih utuh, komuniti yang lebih penyayang dan dunia yang lebih aman pada masa depan.
“Setiap dana dan keuntungan daripada jualan naskhah ini akan disalurkan semula secara telus untuk membiayai usaha kemanusiaan global, termasuk program kemanusiaan serta inisiatif perubatan yang menawarkan rawatan percuma buat golongan pelarian di Malaysia,” katanya.
Setakat ini sebanyak 600 naskhah telah terjual selain mula diedarkan ke luar negara termasuk Denmark, Sweden, Norway, Australia dan Kanada. Versi alih bahasa ke bahasa Melayu juga sedang dalam proses cetakan dan bakal menemui pembaca tempatan tidak lama lagi.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Laluan Sekitar Jalan U Thant Ditutup Sementara Bermula Isnin Ini - DBKL
- Manifesto PH Pelan Kerja Awal Bawa Johor Ke Arah Ekonomi Lebih Kukuh - Penganalisis
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Lapan Negeri Hingga 6 Petang
- Pendekatan "Top Down" Tidak Memadai Untuk Bangunkan Usahawan Bumiputera - PM Anwar
- PRN Johor: Hubungan BN-PH Peringkat Persekutuan Sangat Baik - Ahmad Zahid