Laluan Sekitar Jalan U Thant Ditutup Sementara Bermula Isnin Ini - DBKL
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Beberapa laluan di sekitar Jalan U Thant akan ditutup sementara kepada semua lalu lintas bermula dari Isnin ini hingga 31 Januari tahun depan bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja pembinaan pipe jacking.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan penutupan penuh melibatkan laluan keluar dari Jalan U Thant ke Jalan Tun Razak berhampiran Regal House dan laluan masuk dari Jalan Tun Razak ke Jalan Langgak Golf (berhampiran Kedutaan Iraq).
Jalan Langgak Golf pula akan dijadikan laluan sehala bagi pergerakan keluar menuju ke Jalan Tun Razak.
Menurut DBKL, pengguna jalan raya dari arah Jalan Tun Razak yang ingin menuju ke Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf perlu menggunakan Jalan U Thant sebagai laluan masuk.
Pengguna dari kawasan Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf yang ingin menuju ke Jalan Tun Razak pula dikehendaki menggunakan Jalan Langgak Golf sebagai laluan keluar.
"DBKL menasihati semua pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan trafik yang disediakan, menggunakan laluan yang telah ditetapkan mengikut Pelan Pengurusan Trafik dan memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan kerja pembinaan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Young Tigers Uji Taring Di Jepun Hadapi Piala Remaja Asia 2026
- PRN Johor: Tiada Isu "Copy And Paste", Manifesto Sentuh Masalah Rakyat - Hannah
- Kementerian Komunikasi Nilai Tahap Pematuhan Platform Media Sosial Terhadap ONSA
- Hospital Sibu Tawar Khidmat Bedah Saraf Kepada Sejuta Penduduk Bahagian Tengah Sarawak
- Pesta Buku ASEAN P.Pinang Sasar 350,000 Pengunjung