04/07/2026 11:19 AM

PRN Johor: Muszaide Mahu Perluas Projek Agro-teknologi Ke Kawasan Felda

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KOTA TINGGI, 4 Julai (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili daripada Barisan Nasional (BN) Muszaide Makmor merancang memperluas projek agro-teknologi dengan kerjasama universiti awam ke kawasan FELDA sebagai agenda utama manifestonya bagi meraih mandat penggal kedua.

Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memperkasa ekonomi komuniti luar bandar serta meningkatkan pendapatan penduduk, termasuk generasi kedua FELDA.

Katanya projek pertanian moden yang memanfaatkan kepakaran Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), seperti penternakan udang galah, ketam nipah serta penanaman halia muda, dijangka mampu meningkatkan pendapatan peserta setempat.

“Projek pembenihan udang galah dan ketam nipah yang masing-masing dilaksanakan di Sungai Sedili Kecil dan Sungai Sedili Besar antara inisiatif yang mampu membuka peluang pendapatan baharu kepada masyarakat setempat.

“Saya sempat ke Aping Timur dan mereka juga berharap projek seperti ini dapat diperluaskan di kawasan FELDA bagi memberi peluang kepada generasi kedua menambah pendapatan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi merancakkan lagi ekonomi domestik, pembukaan kilang sawit bersepadu di kawasan itu dijangka menawarkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu kepada golongan muda tempatan.

“Pembukaan kilang sawit berskala besar ini dirancang khusus bagi mengurangkan kadar pengangguran serta penghijrahan anak muda ke luar daerah, sekali gus membolehkan kitaran ekonomi setempat bergerak lebih rancak dan dinamik,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Muszaide menyerahkan penilaian sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi berdasarkan rekod prestasi yang dibawanya bagi memastikan kesinambungan pembangunan di Sedili dapat diteruskan.

Pada PRN Johor kali ini, Muszaide dicabar bekas ADUN Sedili selama tiga penggal, Rasman Ithnain yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Pakatan Harapan (PH) Amirul Husni Onn.

Sementara itu, Rasman mendakwa meskipun hampir 3,000 penerima lot generasi kedua FELDA di kawasan itu berjaya memperoleh geran hak milik tanah hasil usahanya sebelum ini, mereka masih gagal membina atau menduduki kediaman sendiri.

Beliau berkata keadaan itu memberi kesan apabila sebahagian pemilik terpaksa menanggung bayaran bulanan pinjaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebanyak RM300 sebulan, namun rumah berkenaan dibiarkan kosong akibat ketiadaan prasarana asas.

Katanya kelulusan bagi pembangunan infrastruktur asas itu didakwa sengaja dilengah-lengahkan atas faktor politik.

Selain isu perumahan, Rasman turut membangkitkan masalah gangguan bekalan air bersih yang disifatkannya sebagai isu paling kritikal sehingga menjejaskan penduduk kampung tradisional dan gugusan FELDA di DUN Sedili, khususnya setiap kali menjelang musim perayaan.

“Jika saya kembali mendapat mandat, saya akan mendesak kerajaan negeri Johor supaya mengambil langkah berani dengan membuat pinjaman khas daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan krisis utiliti berkenaan, memandangkan akaun hutang air negeri sebelum ini telah diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai 

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

N36: SEDILI - 29,090 pengundi 

1. Amirul Huzni Onn (PH-Amanah)

2. Muszaide Makmor (BN-UMNO)

3. Rasman Ithnain (PN-Bersatu) 

(2022: Muszaide Makmor: BN-UMNO: Maj: 5,679)